PPP sindir Umno di Sarawak?

PPP sindir Umno di Sarawak?

2010 9:00 AM Oleh Masdar Wahid

KUALA LUMPUR : Sekutu terkecil BN di semenanjung merangkap parti yang memiliki ‘2 Presiden’ Parti Progresif Penduduk (PPP) pada hari ini secara rasminya melancarkan cawangan parti itu di Sarawak sekaligus menempelak Umno yang sehingga ke hari ini kekal di’haram’kan untuk memasuki negeri itu.

Naib Presiden PPP, Datuk Nik Sapaie Nik Yusof dipetik sebagai berkata, PPP merupakan parti komponen BN pertama yang berpusat dari semenanjung yang berjaya melebarkan cawangan parti itu di Sarawak.

Menurutnya, beliau yakin suatu hari nanti parti itu akan bersama-sama dengan kerajaan negeri dan jika PPP memenangi sebarang kerusi, pemimpin tempatan akan berpeluang dilantik sebagai menteri.

Walaupun Umno merupakan parti utama dalam BN, tetapi parti itu sehingga kini gagal membuka sebarang cawangan di Sarawak.

Kali terakhir Umno cuba memasuki Sarawak ialah pada tahun 2007 selepas sekumpulan 12 orang yang diketuai oleh Affendi Haji Jeman dilihat berlegar-legar semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Machap dengan pakaian mereka tertera perkataan ‘Penaja Umno Sarawak’.

Namun, Presiden Umno ketika itu Abdullah Ahmad Badawi berkata, Umno tidak akan memasuki Sarawak, ‘buat masa ini’.

Untuk rekod, PPP mula melebarkan pengaruhnya di Sarawak pada tahun 2007 menerusi beberapa jawatankuasa penaja dari sekumpulan Kaum Iban yang bekerja di Johor.

Walaupun Sarawak dikatakan sebagai simpanan tetap BN, tetapi Sarawak jugalah satu-satunya negeri yang tidak disenaraikan dalam program Umno ‘Juara’ Rakyat' yang kini sibuk diadakan di seluruh negeri dan dijangkan akan berterusan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

No comments: