Rangka kerja dasar dibahas dalam konvensyen
Saturday, 19 December 2009 4:20 PMPakatan Rakyat menggariskan beberapa rangka kerja untuk dijadikan agenda perjuangan pada masa akan datang.
Sekiranya Pakatan Rakyat diberi mandat menubuhkan kerajaan persekutuan beberapa perkara akan diberi keutamaan segera seperti:
* Pengharaman undang-undang kuku besi,
* Pengagihan bantuan saksama kepada masyarakat termiskin
* Merombak sistem tender yang bergelumang dengan amalan rasuah dan penyelewengan.
Pakatan Rakyat juga akan memastikan Parlimen diberi mandat bagi memperakukan perlantikan pegawai tertinggi Ketua Polis Negara,Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). PR juga berjanji akan memberi royalti sebanyak 20 peratus kepada negeri pengeluar minyak dan sejumlah dari cukai yang dipungut di negeri masing-masing. Bagi sistem pilihanraya pula, undi pos akan dihapuskan
Selain itu PR berikrar akan menyediakan perkhidmatan wifi percuma seluruh negara, melanjutkan tempoh persaraan kepada 60 tahun dan potongan diskaun 50 peratus tambang pengangkutan awam untuk para pelajar, pesara, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas.
Untuk memperbaiki jurang antara kaum Akta Hubungan Kaum akan diperkenalkan serta menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyelesaikan isu-isu tertunggak berkenaan undang-undang yang memberi kesan ke atas kaum dan agama.
Kepada pekerja PR akan memperkenalkan dasar gaji minima dan memberikan semua pekerja hak untuk membentuk kesatuan. Begitu juga bagi yang diberhentikan kerja, satu dana pemberhentian pekerja akan diwujudkan. Manakala bagi penganggur program latihan dan penempatan semula akan diperkenalkan.
Usul yang terkandung dalam rangka kerja ini adalah matlamat utama dan merupakan tawaran kepada rakyat dalam menghadapi Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-13 yang dijangka akan diadakan pada penghujung 2010.