Negeri pemerintahan PR perlu jadi model - Hadi
Saturday, 19 December 2009 5:13 PM
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang meyakinkan perwakilan yang menghadiri konvensyen Pakatan Rakyat di Dewan MBSA Shah Alam bahawa konsep perjuangan Pakatan Rakyat telah pun diterima oleh rakyat Malaysia yang bersedia untuk membuat perubahan besar pada pilihan raya ke 13 kelak.
Bagaimanapun, untuk mencapai hasrat itu ujarnya, semua pihak dalam pakatan harus tahu dan mencari kaedah terbaik.
"Tsunami politik pilihanraya kedua belas menunjukkan konsep pakatan Rakyat mampu melakukan perubahan, sekiranya diolah dengan cara yang lebih baik boleh berlaku perubahan yang lebih besar walaupun ada kepincangan dalam amalan demokrasi," katanya.
Menurutnya, penyertaan PAS bersama PR adalah sebagai usaha untuk melakukan perubahan atas perinsip yang disepakati bersama dengan parti-parti lain bagi menyelematkan rakyat daripada terus ditipu dan diperbodoh parti pemerintah selama setengan abad lalu.
"Mereka yang merupakan majoriti masyarakat yang menjadi mangsa kecuaian tersebut adalah majoriti pengundi. Tanpa menggerakkan mereka sendiri, tidak berlansung kepada perubahan menyeluruh, sebabnya kerana mereka diperbodoh, ditipu dan dirasuah," tegasnya.
Tambah Hadi demokrasi negara ini telah pun memasuki tahap kritikal dan tidak ada cara lain untuk memulihkannya selain menumbangkan kerajaan BN.
"Sebenarnya kita mengalami demokrasi yang sakit tenat , dengan kongkongan yang menghalang rakyat menjadi hakim yang adil melalui mahkamah pilihan raya, kerana saksi daripada media yang tidak memberi keterangan yang adil dan telus bagi semua pihak.
"Parti yang memerintah terus memerintah di masa pilihanraya , sehingga menyalahgunakan alat-alat kerajaan melalui kementerian dan jabatan, jentera kerajaan dan pasukan keselamatan, sehingga undang-undang pilihanraya menjadikan padang lapangan pilihanraya itu tidak sama rata," jelasnya.
Dalam perjuangan menumbangkan kezaliman BN itu PAS akan berdiri teguh bersama PR. Katanya Hadi PR adalah model perjuangan bersama yang terbaik setakat ini dan secocok dengan kehendak Islam yang mementingkan keadilan.
"PAS yang berlandaskan Islam menganggap semua manusia adalah sama, kerana realiti mereka percaya kepada Tuhan yang satu maka di atas perinsip aqidah ini Islam mewajibkan kerajaan berlaku adil kepada semua tanpa mengira bangsa dan agama yang berlainan. Islam menganggap semua manusia daripada keturunan Adam dan Hawa, ada pun bangsa dan bahasa yang berbeza, warna kulit yang berlainan, taraf hidup yang tidak sama," katanya.
Selain itu Hadi mengingatkan pemimpin PR yang telah diberi amanah oleh rakyat dinegeri yang dimenangi wajib memberikan komitmen terbaik mereka. Apabila negeri tadbiran PR boleh menjadi model pemerintahan yang diidamkan rakyat, tidak mustahil rakyat di negeri tadbiran BN pula akan berubah dalam pilihan raya akan datang.
"Kita perlu menjadi model di negeri yang telah kita kuasai, di mana lawan kita mencari setiap kelemahan kita. Media arus perdana yang masih tidak banyak memberi ruang yang adil kepada kita, sudah pasti membesarkan kesilapan yang kecil daripada kita dan memperkecilkan kejayaan yang besar daripada kita. Mereka juga akan mengambil setiap kelemahan parti dan individu,
"Kita tidak boleh berpaut di atas perancangan jangka pendek, kerana perjuangan politik wajib mengharungi jangka panjang, bukan sahaja untuk mencapai kemenangan, tetapi juga merancang untuk mengisi kemenangan dan percayalah bahawa mengisi kemenangan itu sebenarnya lebih sukar daripada mencapai kemenangan," katanya.