Hanya PAS Membela Melayu dan Islam



Ditulis oleh Fadzilah Mansor


WEDNESDAY, 31 DECEMBER 2008 22:27


KUALA TERENGGANU : Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik mempersoalkan kedudukan Umno yang mengatakan bahawa mereka membawa Islam dalam keadaan prinsip perjuangan mereka adalah kebangsaan.


"Bagaimana Umno boleh mengatakan bahawa mereka membawa Islam sedangkan dasarkan mereka adalah kebangsaan, pada masa yang sama PAS adalah merupakan parti yang membawa Al-Quran dan Sunnah sebagai dasar," katanya dalam ceramah pelancaran jentera Pilihan Raya PAS Negeri Kelantan, Wilayah Persekutuan dan Dun Pembantu, Kuala Nerus di Masjid Hiliran, 28 Disember lalu.

Tegasnya, kini timbul pelbagai isu dalaman yang membangkitkan nasib dan masa depan Melayu dan Islam tetapi ternyata Umno gagal membela dan mempertahankan kesinambungan Islam apatah lagi Melayu.


"PAS jaga Melayu sampai akhirat tapi Umno jaga Melayu sekali-sekala sahaja, mereka ini menganut aqidah kebangsaan.


"Kalau kita undi kebangsaan bermakna kita redha kepada kesesatan dan kegelapan pada masa depan," katanya lagi.


Tambahnya, Umno membudayakan amalan pemberian rasuah di dalam parti mereka.
"Beri rasuah salah, tak beri kalah, jadi serba salah. Inilah cara Umno mendidik rakyat," ujar.
Dalam pada itu, Menteri Besar Kelantan itu turut mengulas mengenai tindakan kerajaan Umno-BN yang meniru program yang dibuat oleh kerajaan PAS Kelantan.


"Banyak tindakan dan program di Kelantan, kerajaan pusat tiru contohnya Ar Rahnu, Kifaalah, dan sebagainya.


"Kalau musnahkan PAS, nanti dia (Umno-BN) hendak tiru siapa," demikian ujarnya.
Majlis yang dimulakan dengan solat fardhu Maghrib, diselangi bacaan doa akhir dan tahun baru diteruskan dengan solat hajat secara berjamaah yang diimamkan oleh Ustaz Nik Aziz.
Program pelancaran tersebut merupakan kali pertama diadakan di dalam sebuah masjid.
Rombongan Kelantan diketuai Pengarah JPN, Abdul Fatah Harun, timbalan pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah manakala jentera Wilayah Persekutuan diketuai Yang DiPertua PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Mohd Nor.



Dalam ucapan pembukaan, Abdul Fatah menjelaskan bahawa kehadiran jentera PAS Kelantan bertujuan menghulurkan bantuan dari sudut buah fikiran dan tenaga selain berkongsi pengalaman menghadapi situasi pilihan raya ini.
Bersama-sama beliau rombongan petugas daripada kalangan kelab penyokong PAS berbangsa Cina yang dibawa oleh Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Dato' Anuar Tan Abdullah bagi membantu.


Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Wan Mutalib Embong, Exco Kerajaan Kelantan, Dato' Anuar Tan serta Yang DiPertua Dun Bandar, Abdul Wahid Endut dan pimpinan di semua peringkat kedua-dua negeri termasuk muslimat.


Selain pelancaran jentera bagi menghadapi pilihan raya, program tersebut juga diadakan sempena sambutan maal Hijrah.


Majlis diakhiri dengan jamuan makan yang disediakan pihak penganjur kepada semua yang hadir.







No comments: