1,000 syarikat terjejas - MSWG

Oleh AZMAN IBRAHIM


ABDUL Wahab Jaafar Sidek menunjukkan risalah mengenai peranan dan kejayaan Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti Bhd. di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 31 Dis. - Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti Bhd. (MSWG) menjangkakan lebih 1,000 syarikat senaraian awam tempatan akan terjejas pada akhir tahun depan berikutan kemelesetan teruk ekonomi Amerika Syarikat (AS).


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Wahab Jaafar Sidek berkata, ini berikutan Bank of America meramalkan kemelesetan ekonomi negara itu dijangka terburuk pada Jun akan datang.
Beliau memberitahu, selepas enam bulan, negara tersebut mengalami kemelesetan ekonomi dan tempiasnya dijangka diterima negara ini.


"Malaysia tetap menerima tempias kemelesetan teruk ekonomi di AS dan sebahagian syarikat akan menerima kesan berkenaan manakala selebihnya akan dapat bertahan.
"Senario tersebut pernah berlaku dalam kegawatan ekonomi pada 1997 yang lalu dan pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan kerajaan beberapa bulan lalu sebanyak RM7 bilion perlu disalurkan sebaiknya dalam sektor-sektor tertentu kerana ia masih belum mencukupi bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara,'' katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar terakhir beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MSWG di sini hari ini.

Abdul Wahab berkhidmat di MSWG sejak November 2004 dan secara rasminya menamatkan perkhidmatan hari ini.

Beliau menambah, walaupun Malaysia menerima kesan daripada kemelesetan teruk ekonomi AS, sebahagian syarikat di negara ini akan dapat bertahan berikutan rangka kerja kawal selia (regulatory framework) oleh kerajaan amat baik.
Selain itu, katanya, kepelbagaian aktiviti ekonomi turut membantu negara mempertahankan kedudukan dan prestasi ekonomi.


Ketika ditanya mengenai perancangan beliau selepas tamat perkhidmatan di MSWG, Abdul Wahab berkata, beliau akan terus berkhidmat dalam sektor perkhidmatan.
Beliau juga akan meneruskan kegiatan dalam kajian pentadbiran korporat.


"Saya akan terus bekerja dan memastikan memberi sumbangan kepada sektor korporat dan kepada MSWG sendiri,'' ujarnya.


Mana satu yang betul? Sekejab ekonomi OK.Sekejab kata Ekonomi tak OK

No comments: