Aktivis reformasi cari arah baru
Apr 18, 08 2:19pm
Kumpulan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikenali "aktivis Reformasi" menganjurkan dialog dengan pemimpin mereka yang menang dalam pilihanraya umum 8 Mac untuk mencari hala tuju baru gerakan itu. Pertemuan itu, sebagai mengenang perjuangan selama satu dekad yang digelar 'Himpunan Reformis 1988-2008', akan disertai ahli parlimen Batu, Tian Chua dan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang, Saari Sungib. Kedua-dua mereka, bersama lapan yang lain, pernah ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2001 dan didakwa di mahkamah atas kesalahan terlibat dalam siri-siri perhimpunan di Kuala Lumpur.
Lebih 1,000 orang ditangkap semasa berdemonstrasi antara 1998 hingga 1999 sahaja.Menurut jurucakap penganjur Mustapa Mansor, dialog itu juga akan membincangkan peranan baru aktivis gerakan itu sebagai kumpulan tanpa parti, termasuk menegur kerajaan-kerajaan negeri yang kini ditadbir Pakatan Rakyat.Pertemuan di Hotel KL International jam 5 petang esok dimulakan dengan tayangan video perjuangan gerakan itu selama 10 tahun mulai 1998 dan diikuti forum 'Mensyukuri Kemenangan Pilihanraya Umum ke-12: Menganalisis Strategi dan Memperkukuhkan Komitmen'.