Orang Afrika: Antara stereotaip dengan realiti


Terdapat pelbagai teori media yang mengatakan bahawa saluran media mempunyai kuasa untuk mempengaruhi pendapat awam, terutamanya kuasa untuk mengeruhkan lagi sentimen perkauman terhadap pekerja dan penuntut asing yang sudah lama berakar umbi di minda dan jiwa rakyat kebanyakan. Sentimen perkauman terhadap lelaki Afrika di Malaysia didapati lebih parah daripada wanita. Tanggapan buruk ini banyak disumbang melalui stereotaip lelaki Afrika sebagai kaki lawan dan penjenayah yang memporak-perandakan keamanan dan budaya kita. Stereotaip ini muncul di kaca televisyen, di internet, dan di muka akhbar. Seringkali orang berkulit hitam disamakan dengan orang Afrika seolah-seolah Afrika itu satu negara yang monolitik, tanpa kepelbagaian budaya, bahasa, dan rupa. Realitinya, ramai yang meneruskan pelajaran atau datang mencari rezeki di Malaysia datang daripada latar belakang sosial, kelas, agama, bahasa, dan keadaan geopolitik yang berbeza.
 
Kini, kita sering mendengar di wahana media tentang "kebanjiran" pekerja dan penuntut Afrika pada tahap yang membimbangkan di seluruh pelusuk Malaysia, dari Kota Kinabalu hingga ke Alor Setar. Kita menggarapi migrasi sebagai satu masalah "baru" yang melanda negara, yang menyerupai gejala jenayah, hakisan budaya tempatan, dan meningkatkan satu iklim yang menakutkan dan penuh bahaya. Kehadiran populasi Afrika dianggap sebagai sesuatu yang baru, seolah-olah tidak wujudnya sejarah migrasi dan penempatan orang-orang dari benua Afrika.
 
"Gelombang" pertama pergerakan orang Afrika (atau "Negrito") ke Asia bermula lebih kurang 100,000 tahun dahulu, dan kemudiannya berkembang di Pakistan selatan, dan kepulauan Polynesian dan Melanisia. Golongan ini berpecah kepada etnik Khyeng di Pakistan, Jawawa di Teluk Benggala, dan Agta di Filipina. Sejak 1970-an, kedatangan warga asing ke tanahair dimangkinkan oleh situasi ekonomi dan globalisasi. Tahap penghijrahan yang meninggi jelas menunjukkan kemakmuran ekonomi Malaysia dan gawatnya ekonomi negara-negara penghantar para penghijrah. Malangnya, tahap kesedaran sosial tidak setimpal dan jauh kebelakang; lain kata, kemakmuran dan pembangunan tidak pernah menjamin perikemanusiaan dan keadilan.
 
Pada 31 Mac, seorang pelajar IPTS berusia 35 tahun yang bernama Onochie Martins Nwankwo telah dipukul sehingga mati di Hulu Langat di tangan lima anggota RELA. Onochie dipercayai mencabul seorang pencuci wanita di tempat tinggalnya. Wanita tersebut melapor bahawa beliau melarikan diri daripada Onochie dan meminta tolong kepada kumpulan suspek-suspek yang kemudiannya bertindak dengan membelasah Onochie. Di sebuah negara yang mempunyai sistem perundangan yang dicipta untuk menjamin keamanan dan menghukum pesalah dengan saksama, anggota RELA tidak berhak untuk menjatuhkan "hukuman" mereka ke atas mendiang Onochie. Motif di sebalik pembunuhan beliau berbaur perkauman terhadap orang-orang berkulit hitam.
 
Disebabkan layanan kelas kedua yang terpaksa dipikul oleh warga Afrika amnya, kesahihan kes cabul yang dibayar oleh Onochie dengan nyawanya mungkin tidak dipersoalkan lagi, seperti kesahihan kes-kes jenayah lain yang melibatkan warga Afrika yang lain. Tragedi seperti beberapa penuntut IPTS dari negara Botswana pernah dilaporkan membunuh diri disebabkan tekanan yang dicetus oleh perkauman dan layanan buruk warga Malaysia. Ekoran kejadian tersebut, kematian seorang warganegara Nigeria bulan lalu di tangan pengganas RELA, yang kemudiannya mencetus pertunjukan perasaan oleh kumpulan sewarganegara di Ulu Langat kini menunjukkan betapa parahnya keadaan perkauman yang mengganas dan berdarah di Malaysia dewasa ini.
 
Terdapat beberapa faktor yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi tarikan ramai penuntut Afrika. Pertama sekali, kerana kos pembiayaan untuk pendidikan tertiari adalah lebih rendah daripada di Eropah, Amerika Syarikat, atau di Australia. Kemudahan dan kualiti pendidikan juga dianggap setanding dengan IPT di negara-negara tersebut. Sesetengah IPT memperuntukkan RM25,000 bagi penuntut pasca-siswazah antarabangsa. Kedua, ramai penuntut yang beragama Islam dari benua Afrika yakin bahawa gaya hidup di negara yang majoriti Islam seperti Malaysia
membantu memelihara akidah mereka. Ketiga, visa untuk belajar di Malaysia lebih muda diperolehi berbanding negara-negara barat yang kini mengetatkan polisi imigresen negeri masing-masing. Dan keempat, ramai akan mengambil peluang untuk meninggalkan negara masing-masing untuk kehidupan di luar negara kerana nilai prestij mereka akan meraih daripada pengalaman merantau dan gaji yang dijangka lebih lumayan di sini. Faktor-faktor diatas begitu logikal, tetapi mampukah
kesemuanya menangkis prejudis terhadap warga asing Afrika yang menular?
 
Terdapat lebih kurang 22,000 penuntut di IPT dari benua Afrika; yang terjebak dalam gejala jenayah dan sosial adalah sangat minima mengikut Menteri Pengajian Tinggi Mohamed Khaled Nordin - terdapat hanya 66 kes dilaporkan membabitkan orang Afrika lewat tahun lepas. Menurut Abiodun Musa Aibinu, wakil Diaspora Nigeria dan Profesor Madya kejuruteraan mekatronik di Universiti Islam Malaysia (UIA) pula, hanya 5% daripada 5,000 warga Nigeria yang berada di Malaysia terlibat dalam pengedaran dadah dan penipuan ("black money"). Hakikatnya wujud hierarki manusia di mana layanan yang diberikan kepada mereka di lapisan bawah pekerja,
penuntut IPT asing, dan golongan pelarian secara automatis jauh lebih teruk. Tetapi kesemua warganegara Afrika yang berkulit hitam digolongkan sebagai "pariah" di mata rakyat Malaysia: walaupun sebagai seorang pensyarah, Abiodoun juga sering menjadi mangsa penghinaan orang-orang tempatan.
 
Sebagai rakyat Malaysia, kita merayakan imej negara kita yang berbilang kaum - itulah satu-satunya "keistimewaan" yang diwarisi daripada sejarah kolonial kita. Tetapi sayangnya, kepelbagaian bangsa dan budaya yang dibanggakan hanya dikhaskan untuk mereka yang berwarganegara Malaysia, walaupun mereka yang bukan banyak menyumbang kepada pembangunan dan melancarkan kehidupan seharian kita. Kepelbagaian bangsa dan budaya Malaysia senantiasa berubah dan kita seharusnya menerima bahawa migrasi adalah hakikat masakini di era globalisasi dan geopolitik dan ekonomi dunia ketiga yang tidak pernah lelah goyah.
 
*Alicia Izharuddin adalah pelajar Doktor Falsafah dalam kajian Islam, gender, dan media.

No comments: