Gelombang internet sebelum BERSIH 2.0 dan 3.0

Pengenalan
 
Dalam dunia kewartawanan, berita sering digambarkan sebagai naskhah kasar pertama sejarah.  Media merupakan wahana komunikasi yang menyalurkan sesuatu berita, justeru media juga mentakrifkan catatan asal sesuatu peristiwa sejarah.  Namun, proses kewartawanan yang kompleks dan dipengaruhi pelbagai faktor khususnya kuasa politik sering mengubah catatan asal sehingga berita yang dipaparkan dalam media terpesong daripada kebenaran.
 
Media wujud dalam pelbagai wahana.  Di Malaysia, media cetak dan penyiaran sering dianggap sebagai media tradisional.  Apabila kawalan media yang ketat dikenakan terhadap media tradisional, liputan berita atau siaran sesuatu peristiwa penting lebih merupakan "konstruk kompleks" mengikut acuan rejim kawalan, maka gambaran tertentu dipaparkan, persepsi tertentu ditonjolkan.  Dimensi kebenaran yang tertentu menjadi pilihan, dimensi kebenaran yang lain tersisip dalam kekaburan, kalau bukan kepalsuan.
 
Kini dengan perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), media baharu sedang mencorakkan persekitaran sosio-politik semasa dalam negara dengan begitu rancak.  Kawalan terhadap media tradisional masih berterusan, tetapi rejim kawalan yang bersifat monolitik sedang berhadapan dengan cabaran besar media baharu yang bersifat interaktif dan bergerak pantas berentap dengan media tradisional dalam proses representasi sesuatu peristiwa.
 
Semenjak kewujudan media baharu termasuk portal berita atas talian seperti Malaysiakini, MerdekaReview dan The Malaysian Insider serta media sosial seperti blog dan mikroblog, ketegangan antara rejim pemerintah dengan media baharu dan juga antara media tradisional dengan media baharu tidak pernah reda.  Semasa perhimpunan BERSIH 2007, apabila media tradisional melaporkan angka empat ribu, media baharu melaporkan angka puluhan ribu.  Seterusnya semasa perhimpunan BERSIH 2.0 dan 3.0, warga siber mendapat manfaat dari segi perbandingan maklumat ekoran kewujudan media baharu lantas memikirkan tentang kesahihan berita berkaitan.
 
Lahirnya media baharu menjadikan perspektif bahawa "kebenaran menjadi pilihan" begitu menonjol sekali.  Maka perbandingan dapat dilakukan dan representasi media baharu khususnya portal berita atas talian dapat mencabar representasi media tradisional dengan kredibiliti yang setanding jika tidak lebih tinggi kredibilitinya.
 
Kredibiliti representasi sesuatu peristiwa tidak lagi dimonopoli oleh media tradisional, malahan kredibiliti media tradisional semakin terhakis. Contoh klasik ialah Utusan Malaysia yang mengalami kemerosotan sebanyak 31.12 peratus dari segi jumlah edarannya semenjak zaman Reformasi. (sila lihat Jadual 1 Bab 2 buku Membina Bangsa Malaysia penerbitan SIRD). Dalam hal ini, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) berpendapat bahawa "kejatuhan edaran akhbar Utusan Malaysia disumbangkan atas beberapa faktor dan kebanyakannya disebabkan polisi yang ditetapkan oleh Ketua Pengarang dan Pengarang-pengarang Kanan", antara lain termasuk "laporan berat sebelah" dan "tidak memberi peluang kepada orang yang dituduh untuk menjawab dan disiarkan di dalam akhbar Utusan Malaysia".
 
Empat tahun selepas BERSIH 2007, gerakan BERSIH 2.0 menyaksikan fenomena kemunculan Generasi Facebook ekoran populariti jaringan media sosial dalam kalangan warga siber serta suasana politik yang dinamik dan memberangsangkan pasca 8 Mac 2008.  20 tahun selepas Tim-Berners Lee mengumumkan ciptaannya yakni jaringan seantero dunia yang juga dikenali dengan nama singkatan WWW (World Wide Web), kesan media sosial terhadap politik kebangsaan terserlah apabila Generasi Facebook mengemparkan bumi Malaysia dengan tuntutan
pembaharuan sistem pilihan raya dalam negara.  Semasa kemuncak gerakan BERSIH 2.0, sebahagian besar halaman Facebook diselubungi kekuningan apabila ramai pengguna Facebook memasang lencana BERSIH 2.0 pada gambar profil masing-masing. Begitu juga semasa BERSIH 3.0.
 
Jaminan tiada penapisan Internet
 
Apabila diimbas kembali perkembangan dalam negara kita, mungkin lebih sesuai jikalau tahun 1996 dan bukannya tahun 2000 diambil kira sebagai permulaan abad ke-21 Malaysia.  Tanggal 1 Ogos 1996, Perdana Menteri (PM) ke-4, Dr.Mahathir Mohamad yang kini bergelar Tun Mahathir telah mengumumkan projek mega Koridor Raya Multimedia (MSC) semasa merasmikan Persidangan Multimedia Asia.
 
Ekoran itu, Mahathir mengumumkan suatu Rang Jaminan MSC Malaysia (MSC Malaysia Bill of Guarantees) yang mengandungi sepuluh jaminan kerajaan untuk menggalakkan pertumbuhan syarikat-syarikat berstatus MSC dan industri teknologi maklumat di Malaysia.  Antara jaminan penting yang menyediakan kerangka tatakelola dan mewujudkan persekitaran untuk perkembangan industri teknologi maklumat dan media ialah:
• Rang Jaminan ke-6: Menjadi pendahulu serantau dalam perlindungan hakmilik
intelektual dan undang-undang siber.
• Rang Jaminan ke-7: Tiada penapisan Internet.
• Rang Jaminan ke-8: Menyediakan tarif komunikasi yang kompetitif pada peringkat global.
 
Apa yang menarik ialah, atas andaian bahawa pembangunan MSC dapat mentransformasi masyarakat dan "melonjatkan" (leapfrog) pembangunan negara untuk mencapai tahap pembangunan sepenuhnya, sejajar dengan tesis masyarakat maklumat dan Wawasan 2020, paradigma pembangunan yang acap kali melegitimasikan tindakan rejim kawalan kini menjanjikan keterbukaan dari segi penapisan Internet.
 
Seterusnya, jaminan tiada penapisan Internet diketengahkan oleh masyarakat madani sebagai syarat penting pewujudan persekitaran kondusif untuk pengoperasian portal berita atas talian tanpa sekatan politik dalam dunia siber.  Perlu ditekankan di sini bahawa jaminan tiada penapisan Internet hanya diutarakan oleh Mahathir semasa beliau berucap di hadapan para pelabur Amerika Syarikat pada 14 Januari 1997, lima bulan selepas pengumuman MSC.  Seterusnya, Fasal 3 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mengisytiharkan bahawa "tiada apa-apa jua dalam Akta ini boleh ditafsirkan sebagai membenarkan penapisan Internet."
 
Jaminan tersebut dapat dilihat sebagai satu-satunya legasi penting Mahathir yang menyumbang secara tidak langsung dan "secara tidak diingini" (unintended) kepada ruang demokrasi dunia siber selepas tercetusnya gerakan massa bergelar Reformasi dua tahun selepas pelancaran MSC.
 
Setahun selepas pelancaran MSC, Malaysia mengalami krisis kewangan Asia 1997/98 yang bermula dari negara Thailand dan juga melanda negara-negara serantau termasuk Indonesia, Filipina, Korea Selatan dan Hong Kong.  Industri ICT berorientasikan MSC yang diagung-agungkan kelihatan lebih signifikan dari segi pembinaan projek mega seperti Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya, Putrajaya dan Cyberjaya yang kerja pembinaannya bermula sekitar pertengahan tahun 1990-an.
 
Dalam sebuah kajian ilmiah berkenaan pembangunan MSC, Tim Bunnell menyifatkan projek MSC sebagai suatu usaha penswastaan untuk mengecualikan rakyat terbanyak, sejajar dengan wacana dominan Mahathirisme yang cenderung mengaitkan slogan "Malaysia Boleh" dengan kehebatan pembangunan berorientasikan projek mega.
 
Faktor dorongan perkembangan ICT
 
Sementara pembangunan MSC kelihatan lemah tatkala krisis kewangan 1997/98, gelombang menuntut perubahan bergelar Reformasi memukul kuat politik tanah air lantas mendorong rakyat marhaen menerokai kemungkinan penyebaran maklumat tanpa sekatan menggunakan teknologi Internet.  Justeru, gerakan Reformasi banyak mendorong perkembangan ICT apabila potensi ruang siber dikenalpasti sebagai manifestasi baharu politik partisipasi supaya mobilisasi rakyat terbanyak dapat dicapai sepanjang zaman Reformasi.
 
Pelancaran laman sesawang zaman Reformasi yang pertama - Anwar Online - pada 1 September 1998, disusuli dengan pemecatan mantan Timbalan Perdana Menteri merangkap mantan Menteri Kewangan Anwar Ibrahim keesokan hari, serta perisytiharaan Deklarasi Permatang Pauh olehnya di kampung halaman beliau, Cherok Tok Kun, Permatang Pauh pada 12 September 1998, bukan sahaja menandakan permulaan gelombang gerakan Reformasi 1998, tetapi juga menandakan permulaan masyarakat siber ketika Malaysia melangkah masuk ke abad ke-21 dan mengejar impian masyarakat berpengetahuan.
 
Selepas itu, fenomena media baharu mulai menyerlah selari dengan arus perkembangan industri teknologi maklumat peringkat global dan gerakan Reformasi 1998 yang menyaksikan kelahiran sebuah parti baharu bersifat massa - Parti Keadilan Nasional - yang berjaya memenangi lima kerusi Parlimen di Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu serta empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor, Pahang, Pulau Pinang dan Perak melalui gabungan parti oposisi Barisan Alternatif yang memberikan cabaran kuat kepada Barisan Nasional (BN).  Komponen parti oposisi tatkala itu termasuk Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).
 
Gelombang pertama fenomena media baharu berkisar sekitar kemunculan laman sesawang pro-Reformasi atau pro-Anwar bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, bersama-sama dengan penerbitan cakera padat (CD), video cakera padat (VCD), penerbitan berkala dan tidak berkala lidah rasmi parti oposisi dan masyarakat madani, serta pelancaran Malaysiakini selari dengan hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-10 (PRU Ke-10) pada 20 November 1999.
 
Jika sekiranya gerakan Reformasi 1998 dan PRU Ke-10 pada tahun 1999 dianggap sebagai petanda gelombang pertama fenomena media baharu, gerakan massa sekitar tahun 2007 khususnya gerakan BERSIH dan PRU Ke-12 pada tahun 2008 dapat dilihat sebagai permulaan gelombang kedua fenomena media baharu berikutan populariti media sosial seperti blog, Facebook dan YouTube. (Bahagian pertama, bersambung)
 
Bahagian kedua: Media Baru sebagai ruang awam
 
*Artikel ini merupakan kemaskini kepada sebahagian daripada penulisan Ooi Heng
pada bulan September 2011 yang dimuatkan dalam buku baharu penerbitan SIRD
berjudul "Membina Bangsa Malaysia" sebagai Bab 2 bertajuk "Media, Teknologi
Maklumat dan Cabaran Semasa".
 
**Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReview.