Teresa Kok Mengecam Tindakan Polis Berdiam Diri Dalam Protes Anti-Ambiga


SHAH ALAM, 16 MEI : Exco Selangor Teresa Kok mengecam sikap polis yang tidak mengambil tindakan terhadap beberapa NGO yang mengadakan demonstrasi berterusan di hadapan rumah Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 3.0), Datuk Ambiga Sreenevasan beberapa hari lepas.
Teresa mempersoal kenapa Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar membenarkan kumpulan terbabit mengadakan senaman punggung dan demonstrasi burger di hadapan rumah Ambiga.
Menurut Teresa, tindakan boleh diambil terhadap NGO tersebut di bawah Seksyen 506 dan 509 Akta Ugutan dan Gangguan Seksual kerana menganggu keharmonian kawasan perumahan dan mengugut keluarga Ambiga.
“Tindakan sedemikian ini hanya bertujuan memalukan Ambiga sekeluarga dan turut mengganggu ketenteraman kawasan rumah disekitarnya,” kata Teresa, yang memegang portfolio Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan.
Sebelum ini, sekumpulan peniaga burger dari Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) memasak burger di hadapan rumah Ambiga, seorang penganut agama Hindu, dan menggantung makanan tersebut di pintu pagar beliau.
Agama Hindu menganggap lembu sebagai haiwan yang suci.
Semalam, seramai 20 orang dari Kelab Kebajikan dan Veteran Tentera (PVTM) mengadakan senaman ‘punggung’ di hadapan kediaman Ambiga di Bukit Damansara.
Khalid mempertahankan sikap polis dengan mengatakan Akta Perhimpunan Aman 2011 (APA), membenarkan semua orang boleh berhimpun asalkan notis diberi notis kepada polis dan  tidak mengganggu ketenteraman awam.
Teresa juga mengesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengambil tindakan terhadap kumpulan tersebut.
“Najib selaku Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat juga perlu bertindak terhadap polis kerana lepas tangan dari mengambil sebarang tindakan,” katanya yang juga MP Seputeh dan Adun Kinrara.
Katanya lagi, kerajaan pusat perlu menghentikan tindakan berdiam diri terhadap kumpulan itu untuk mengelak dari tanggapan bahawa mereka disokong kerajaan pusat.