Bukan calang-calang orang yang dikatakan pernah cuba memujuk Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang supaya berbaik dengan Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan (PH). Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan sendiri, kata Hadi.
Menurut Hadi, Erdogan pernah membisikkan kepadanya ketika menghadiri sebuah persidangan ulama di Turkiye.
“Boleh tak PAS ini berbaik dengan Anwar? Dengan PH?”
Jawapan Hadi cukup ringkas. Tak boleh!
Hebat betul keteguhan prinsip PAS. Presiden sebuah negara Islam yang dihormati dunia pun dikatakan tidak mampu melembutkan hati Presiden PAS untuk berbaik dengan Anwar.
Hadi turut mendakwa PAS pernah ditawarkan peluang menyertai Kabinet dan memegang jawatan menteri, namun semuanya ditolak kerana perbezaan dasar perjuangan yang dikaitkannya dengan soal wala' dan percanggahan dengan Islam.
Setakat ini, cerita mengenai perbualan tersebut datang daripada Hadi sendiri dan belum mendapat pengesahan daripada Erdogan.
Namun, bahagian yang paling menarik bagi aku ialah apabila Hadi menjelaskan pilihan PAS untuk membina muafakat politik bersama UMNO dan kelompok bukan Islam yang disifatkannya tidak ekstrem.
Di sinilah timbul persoalan tentang betapa fleksibelnya prinsip politik PAS.
Dahulu, bukan main keras lagi PAS menentang UMNO sehingga perbezaan politik turut dikaitkan dengan persoalan agama. Hari ini, UMNO pula dipilih sebagai rakan muafakat politik.
Berubah pendirian politik bukanlah satu kesalahan. Tetapi apabila agama dijadikan alasan untuk menerima atau menolak kerjasama politik, sewajarnya ukuran yang digunakan itu konsisten dan dijelaskan kepada rakyat.
Kalau perbezaan dasar dengan UMNO boleh dirundingkan, mengapa perbezaan dengan PH langsung tidak boleh dibincangkan?
Aku tertanya-tanya, apakah sebenarnya ukuran yang digunakan PAS dalam menentukan siapa yang layak menjadi rakan politiknya?
Prinsip perjuangan, keserasian dasar atau percaturan kuasa?
Erdogan mungkin boleh memahami perbezaan politik antara pemimpin Islam, tetapi berdasarkan cerita Hadi sendiri, usaha beliau untuk mendekatkan kedua-dua pihak ternyata tidak berhasil. – Rakyat Menilai

No comments:
Post a Comment