“Kleptocracy at its worst.” Sampai begitu sekali Amerika Syarikat menggambarkan skandal 1MDB. Bukan orang PAS, UMNO atau DAP yang cakap. Peguam Negara Amerika Syarikat sendiri yang sebut.








 “Kleptocracy at its worst.” Sampai begitu sekali Amerika Syarikat menggambarkan skandal 1MDB. Bukan orang PAS, UMNO atau DAP yang cakap. Peguam Negara Amerika Syarikat sendiri yang sebut.

Malaysia masuk berita CNN, Al Jazeera, Reuters, BBC dan The Wall Street Journal. Bukan sebab rakyat Malaysia cipta teknologi hebat. Bukan sebab menang Nobel. Tetapi sebab skandal penyelewengan wang berbilion ringgit.
Kapal layar mewah, rumah berjuta-juta dolar, barang kemas dan karya seni. Macam-macam kemewahan muncul dalam siasatan antarabangsa. Duit yang sepatutnya membangunkan negara, akhirnya menjadi bahan siasatan pihak berkuasa seluruh dunia.
Bayangkan betapa malunya Malaysia. Rakyat bekerja siang malam membina nama negara. Ada pula yang menyebabkan nama Malaysia dikaitkan dengan antara skandal kewangan terbesar dunia.
Bertahun-tahun negara terpaksa menanggung akibatnya. Hutang kena bayar, duit kena cari balik, reputasi kena pulihkan. Yang menikmati kemewahan bukan seluruh rakyat. Tetapi yang menanggung malu, satu Malaysia.
Sejak menjadi Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berusaha membina semula keyakinan pelabur dan imej Malaysia. Ke sana sini membawa cerita pelaburan, ekonomi dan pembangunan. Malaysia mahu dikenali kerana kejayaan, bukan lagi kerana skandal kleptokrasi.
Belum pun selesai kerja membersihkan nama negara, timbul pula cerita Najib balik ke rumah. Maka terbukalah semula persoalan lama. Bagaimana dunia hendak melihat kesungguhan Malaysia mempertahankan akauntabiliti apabila bekas pemimpin yang disabitkan kesalahan mendapat layanan sedemikian?
Balik rumah bukan bermakna sabitan mahkamah terpadam. Tetapi jangan buat-buat tak faham. Dalam hubungan antarabangsa, persepsi terhadap keadilan dan kedaulatan undang-undang juga penting.
Yang paling menggelikan hati, ada pula yang meraikannya macam Malaysia baru menang Piala Dunia. Bila disebut skandal 1MDB, terus buka album jasa Najib. Jalan raya, BR1M, pembangunan. Semua dikeluarkan.
Kalau jasa boleh memadam kesalahan, susahlah mahkamah hendak buat kerja. Setiap kali orang besar disabitkan kesalahan, suruh sahaja peguam bawa album gambar perasmian projek. Tebal album, ringan hukuman.
Agamawan politik pun ada yang tiba-tiba terlebih penyayang. Dahulu bukan main berapi bercakap soal amanah, rasuah dan hukum mencuri. Bila melibatkan tokoh yang mahu dibela, panjang pula syarahan tentang jasa dan belas kasihan.
Anwar berusaha membina semula keyakinan dunia terhadap Malaysia. Tetapi skandal 1MDB masih menghantui negara, dan perkembangan melibatkan Najib boleh menghidupkan semula persoalan tentang keadilan yang cuba ditinggalkan.
Duit yang hilang boleh dicari balik. Hutang boleh dibayar beransur-ansur. Tetapi nama negara yang pernah dikaitkan dengan “kleptocracy at its worst” bukan boleh dicuci dengan satu sidang media.
Yang peliknya, ada orang lebih sibuk membersihkan nama pemimpin daripada memikirkan nama Malaysia.
Orang lain buat skandal, satu negara menanggung malu. Bila negara cuba bangkit, kita masih sibuk meraikan orang yang pernah disabitkan kesalahan berkaitan skandal itu.
Begitulah. Duit negara boleh hilang berbilion. Rasa malu pula jangan sampai hilang sekali.

No comments: