KITARAN KUASA: KEMENANGAN MELAKA BOLEH BUKA JALAN UNTUK UMNO KEMBALI BERKUASA…DAN MENGULANGI KEGAGALAN LAMA




Nazri Hamdan



Kalau BN dan PN menang besar di Melaka, jangan anggap itu cuma pertukaran kerajaan negeri. 


Ia boleh menjadi petunjuk yang formula lama iaitu UMNO dan PAS berpakat, PH kehilangan sokongan, maka kuasa Persekutuan mula digoncang.


Kerajaan sedia ada akan rasa lebih tekanan nak bubar parlimen dan buka jalan PRU awal.


Zahid sendiri sudah membuka pintu untuk PN menyertai kerajaan negeri jika BN menang. 


Selepas itu, persoalannya bukan lagi sama ada mereka boleh bekerjasama, tetapi berapa lama mereka boleh berkongsi kuasa tanpa menikam satu sama lain.


Kemenangan Melaka tak akan secara automatik membubarkan Parlimen. 


Tetapi politik jarang menunggu kesan automatik. 


BN–PN boleh menggunakan keputusan itu untuk menuntut PRU lebih awal, menggambarkan kerajaan Anwar makin hilang sokongan rakyat.


Ni akan galakkan pemimpin BN terus serang kerajaan lebih hebat lagi.


Kalau tekanan itu berjaya meretakkan majoriti kerajaan, PRU boleh datang lebih cepat daripada jadual asal.


Kalau mereka menang PRU, UMNO mungkin kembali ke pusat kuasa dengan keyakinan bahawa mereka sudah “dibersihkan” oleh peti undi. 


Tetapi kemenangan itu tidak akan menyelesaikan masalah UMNO. 


Ia hanya akan menangguhkan soalan yang lebih besar iaitu siapa sebenarnya mengawal parti.


Adakah Zahid yang mengetuai UMNO sekarang, atau kem yang mahu Najib kembali menjadi pusat graviti parti?


Di situlah Zahid paling terdedah. 


Selagi UMNO berada di luar kuasa, beliau boleh mendakwa parti perlu bersatu di bawah kepimpinannya. 


Akan Tetapi jika UMNO kembali memegang kementerian dan jawatan, kem Najib boleh berhujah bahawa merekalah yang membawa semula sokongan Melayu dan membuka jalan kemenangan. 


Perkembangan tahanan rumah Najib sudah menjadi isu yang menggerakkan pemimpin UMNO secara terbuka. 


Kalau Najib kembali ke rumah, pengaruh politiknya juga berpotensi kembali ke dalam parti dan Zahid mungkin mendapati kemenangan PRU menjadi permulaan perang untuk menyingkirkannya.


PAS pula tidak akan masuk kerajaan cuma untuk menjadi penonton. 


Selepas membantu membawa kuasa, PAS akan menuntut ganjaran politik: jawatan, pengaruh dalam dasar, dan ruang untuk menentukan hala tuju negara. 


Pada mulanya mereka mungkin membiarkan UMNO memegang jawatan Perdana Menteri. 


Tetapi apabila UMNO bergolak, PAS boleh menawarkan dirinya sebagai parti yang lebih tersusun dan mendakwa kepimpinan kerajaan patut berpindah kepada mereka.


Jadi, kerajaan BN–PN berpotensi bermula dengan slogan “penyatuan Melayu”, kemudian berubah menjadi perebutan tentang siapa paling berhak memimpin Melayu. 


UMNO tidak akan rela menjadi junior kepada PAS; PAS pula tidak akan mahu selamanya menjadi rakan yang hanya menyumbang kerusi. 


Mereka boleh bergabung untuk menjatuhkan kerajaan, tetapi selepas itu setiap pihak akan mengira siapa yang mendapat lebih banyak kuasa.


Kemudian datang soal wang dan ganjaran politik. 


Apabila UMNO kembali berkuasa, tekanan untuk menghidupkan semula rangkaian naungan iaitu pelantikan, kontrak, projek dan jawatan dalam GLC atau badan berkanun akan menjadi sangat kuat. 


Jangan kelirukan ini dengan dakwaan bahawa setiap pemimpin UMNO pasti mencuri. 


Intinya ialah sistem yang memberi ganjaran kepada penyokong melalui akses kepada sumber awam mudah dibina semula jika tiada semak imbang yang tegas. 


Skandal 1MDB sudah menunjukkan betapa mahalnya harga apabila institusi negara gagal menghalang penyalahgunaan kuasa.


Bila kontrak mula dipersoalkan, pelantikan nampak seperti balasan politik, atau dana awam dikaitkan dengan kepentingan kelompok, kerajaan akan kehilangan modal moralnya. 


Pada masa itulah PH dan parti lain seperti Bersama akan menyerang dengan hujah yang senang difahami rakyat iaitu mereka kembali berkuasa, tetapi tabiat lama turut kembali. 


Di sini, kitaran semula akan berlaku.


Pengundi yang memberi peluang kepada BN–PN atas nama kestabilan boleh berpaling apabila pada masa tu melihat kuasa digunakan untuk mengukuhkan parti, bukannya menyelesaikan kos sara hidup dan masalah ekonomi.


Bila keadaan ni berlaku BN dan PN berpotensi tumbang semula.


Selepas kerajaan itu tumbang atau kalah PRU seterusnya, kerajaan baharu akan berjanji melakukan reformasi. 


Akan Tetapi di sini wujud konflik.


Untuk mendapat majoriti, mereka mungkin tetap perlu berunding dengan UMNO, iaitu parti yang mempunyai kerusi, jentera dan rangkaian politik yang sukar diketepikan. 


Akhirnya reformasi akan dicairkan demi kestabilan, UMNO kembali menjadi rakan kerajaan, dan orang yang pernah berjanji memutuskan kitaran itu terpaksa menyambungnya semula.


Itulah senario paling buruk tetapi paling masuk akal: Melaka menjadi pencetus, PRU membawa BN–PN ke Putrajaya, Zahid ditekan oleh kem Najib, PAS menuntut lebih banyak kuasa, rangkaian naungan politik berkembang, lalu kerajaan dihukum rakyat. 


Selepas itu kerajaan baharu mengajak UMNO masuk semula demi majoriti dan kitaran bermula lagi. 


Nama kerajaan mungkin berubah, tetapi selagi kuasa, jawatan dan sumber awam terus dibahagi sebagai hadiah politik, rakyat hanya akan menukar siapa yang menguruskan kitaran yang sama.


Sebab itulah kita jangan letakkan seluruh nasib hidup kita pada orang politik. 


Hari ini mereka berjanji mahu membela rakyat, esok mereka sibuk berebut jawatan, mempertahankan kedudukan dan mengukuhkan parti sendiri. 


Bila kuasa lebih penting daripada amanah, janji tentang kos sara hidup, pekerjaan dan masa depan rakyat mudah tinggal sebagai bahan kempen. 


Kita boleh mengundi dan menuntut mereka bertanggungjawab, tetapi jangan serahkan masa depan kita bulat-bulat kepada mereka.


Sebab bila kitaran politik berubah, rakyat juga yang terpaksa menanggung akibatnya.


Usaha keras sendiri, bina kekuatan sendiri. Jangan sesekali terhutang budi dengan orang politik sebab mereka akan sentiasa ada agenda sendiri.





No comments: