JOM LIHAT DAN KAJI


Afiq Nordin





 Awal Oktober lalu, saya diundang seorang pemimpin ke rumah beliau.


Katanya beliau suka baca penulisan saya di media sosial.


Dengan penuh rasa terharu, saya petik nama abang Harris sebagai guru saya dan promosikan kelas penulisan dia pada pemimpin tersebut.


Beliau berikan saya satu buku dan minta saya kaji dan ulas semula.


“Ikut pada naratif kamu. Nak buat perbandingan dengan kerajaan sebelum ini pun tak apa. Cerita saja benda yang betul.”


Jadi saya sahut cabaran tersebut. Mana tahu boleh jadi ADUN lantikan. Berangan sajalah ya.


#Pertama


Ok. Saya dapat buku yang bertajuk “3 Tahun Bersama Rakyat” yang menghimpunkan pencapaian pentadbiran Ab Rauf Yusoh sepanjang 2023 hingga 2026.


Untuk tahu samada pencapaian dalam buku ini berjaya atau tak, saya cuba bandingkan dengan pentadbiran Adly Zahari dari 2018 hingga 2020.


Cuma kita kena adil kerana pentadbiran Adly cuma 22 bulan, manakala Rauf lebih tiga tahun.


Jadi untuk perbandingan ekonomi, saya gunakan 2019 sebagai tahun penuh pentadbiran Adly dan 2025 sebagai tahun pencapaian pelaburan tertinggi pentadbiran Rauf.


#Kedua


Dalam pelaburan, perbezaannya memang ketara.


Menurut Invest Melaka, pada 2019 negeri ini merekodkan RM2.21 bilion pelaburan diluluskan melibatkan 152 projek dengan 1,942 peluang pekerjaan yang disenaraikan.


Pada 2025 pula, jumlahnya mencecah RM14.68 bilion melibatkan 312 projek dan 4,612 peluang pekerjaan.


Nilai pelaburan itu sekitar 6.7 kali ganda berbanding 2019, malah dilaporkan sebagai rekod tertinggi Melaka dalam tempoh 22 tahun.


Tapi kena faham, pelaburan diluluskan bukan bermaksud semua projek dah beroperasi.

Begitu juga peluang pekerjaan yang disenaraikan belum semestinya semuanya telah diisi.


#Ketiga


Dari sudut ekonomi, data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Melaka bernilai RM43.6 bilion pada 2019 berbanding RM50.3 bilion pada 2025, berdasarkan harga malar 2015.


Kadar pertumbuhan ekonomi pula sekitar 2.9% pada 2019 berbanding 3.0% pada 2025.


Maknanya, saiz ekonomi Melaka memang berkembang dalam tempoh tersebut, tapi kadar pertumbuhan bagi kedua-dua tahun hampir sama.


Saya rasa perkara ini penting.


Jumlah pelaburan yang besar perlu dilihat bersama pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan dan manfaat kepada rakyat, bukan sekadar angka yang diumumkan.


#Keempat


Dalam pelancongan pula, kita kena tengok sejarah sebelum dan selepas COVID-19.


Pada 2019, Melaka menerima 18.73 juta pelancong. 


Jumlahnya kemudian merosot kepada 5.05 juta pada 2020 dan sekitar 2.66 juta pada 2021 akibat pandemik.


Pemulihan bermula selepas sekatan dilonggarkan.


Pada 2023, Melaka merekodkan 8.60 juta pelancong, meningkat kepada 15.03 juta pada 2024 dan 15.90 juta pada 2025.


Banyak program dan aktiviti yang dilaksanakan untuk tarik pelancong datang Melaka seperti program Bila Larut Malam dan sebagainya.


Bermakna sepanjang 2023 hingga 2025, jumlah pelancong meningkat sekitar 84.9%.


Jelas angka 2025 belum dapat mengatasi rekod 2019.


Tapi peningkatan berterusan sepanjang tempoh pemulihan ini juga wajar diberikan perhatian.


Kita tak boleh nafikan pencapaian sebelum pandemik, dan pada masa sama kita kena mengiktiraf usaha pemulihan yang diteruskan.


#Kelima


Bagaimana pula dengan pencapaian yang lebih dekat dengan rakyat?


Buku ini melaporkan bantuan pendidikan Tabung Amanah Pendidikan Melaka (TAPEM) meningkat daripada RM7.05 juta melibatkan 9,347 penerima pada 2023 kepada RM10 juta dengan 12,279 penerima pada 2025.


Lebih 100 jalan kampung dilaporkan dinaik taraf, 4,000 lampu solar dipasang dan 618 kampung menerima manfaat inisiatif QR Digital.


Dalam perumahan pula, sebanyak 631 rumah kos rendah dan 1,126 rumah kos sederhana disenaraikan telah siap, selain projek lain yang masih dalam pembinaan serta perancangan.


Pentadbiran Adly juga ada pencapaiannya.


Setakat akhir 2019, beliau melaporkan 62 daripada 85 janji manifesto dilaksanakan, selain memperkenalkan MELCAT, bekalan air percuma, tender terbuka dan peruntukan pusat khidmat kepada ADUN bukan kerajaan.


#Keenam


Bagi saya, ada perkembangan yang jelas dalam rekod Melaka, ada pencapaian terdahulu yang masih menjadi penanda aras, dan ada angka yang memerlukan penelitian lanjut.


Sebab itu kita perlu melihat apa yang telah dilaksanakan, siapa yang menerima manfaat dan sejauh mana sesuatu dasar benar-benar membawa perubahan.


Saya rasa kedua-dua pihak telah memainkan peranan mereka untuk negeri Melaka dan wajar diberi penghargaan.


Jadi lepas ini kita akan ulas pula tentang manifesto Barisan Nasional dengan Pakatan Harapan.




No comments: