JEJANTAS 8 JUTA

 



JEJANTAS 8 JUTA



1- Seorang kawan berkongsi satu klip video ceramah yang sedang tular di media sosial. Dalam video itu, di dalam video kelihatan YB TikTok sedang bercerita dengan perasaan sayu di hadapan penyokongnya, memainkan sentimen kononnya beliau dituduh "melutut" kepada YB DAP semata-mata demi mendapatkan bantuan dan peruntukan untuk rakyat di Duyong.
2- Hakikat sebenar di peringkat akar umbi, tidak wujud pun sesiapa mengeluarkan istilah kononnya beliau melutut kepada. Apa yang sebenarnya dipersoalkan oleh orang ramai ialah komitmen kerja beliau serta ke mana perginya peruntukan besar kerajaan negeri sedangkan masalah asas penduduk masih bertimbun.
3- Di atas pentas ceramah, beliau mendakwa kononnya hanya menerima peruntukan sebanyak RM300,000 setahun seperti yang disebut dalam rekod biasa. Namun, mengapa beliau tidak pernah menceritakan tentang peruntukan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang mencecah RM285,000 bagi setiap DUN, belum lagi dikira bajet penganjuran majlis Aidilfitri dan pelbagai program mega yang mewah?
4- Lebih menghairankan, apabila parti beliau mahu melunaskan denda RM50 juta bagi kes rasuah SRC International Datuk Seri Najib Razak, yang skandal 1MDB nya memberi bebanan kepada rakyat dan negara dengan hutang yang perlu di tanggung sehingga tahun 2039, jentera UMNO terbukti mampu mengumpul derma RM50 juta tersebut dalam tempoh kurang 50 hari sahaja.
5- Dalam masa yang sama, beliau berkali-kali dilihat meminta baki dana sekitar RM700,000 daripada Perdana Menteri untuk menyiapkan kerja naik taraf Masjid Jamek Laksamana Hang Tuah di Duyong. Persoalannya, adakah YB Duyong sendiri tidak sanggup menjadi teladan dengan mendermakan sekurang-kurang nya 10 peratus daripada gaji bulanannya untuk pembinaan masjid tersebut, sedangkan umum mengetahui PMX sendiri sanggup tidak mengambil sesen pun gaji sebagai Perdana Menteri demi menjimatkan perbelanjaan negara dan memperkasakan ekonomi rakyat?
6- Cuba di lihat pula projek menaik taraf Jejantas Tun Teja di Melaka Sentral yang kononnya mahu meniru gaya mercu tanda di Putrajaya. Terang-terang RM8 juta lebih wang rakyat dileburkan semata-mata untuk mencantikkan struktur jejantas sedia ada dengan ribuan lampu hiasan, kemudian disusuli pula dengan kontrak penyelenggaraan bernilai RM2.075 juta untuk tempoh tiga tahun.
7- Di satu sudut lain, tengok pula nasib golongan nelayan dan petani yang dijanjikan peranti GPS lengkap dengan fish finder bernilai keseluruhan RM1 juta oleh mantan Exco sejak Julai lalu. Pada awalnya dijanjikan selesai diagih pada bulan Ogos, namun sehingga masuk bulan November para nelayan masih tertunggu-tunggu dengan pelbagai alasan prosedur, tapisan nama, dan birokrasi.
8- Kontradiksi pentadbiran ini cukup terang dan mudah dinilai oleh sesiapa sahaja. Apabila melibatkan projek mencantikkan jejantas RM8 juta, kos penyelenggaraan RM2 juta lebih, serta penganjuran karnival mega ratusan ribu ringgit, kelulusannya berjalan bukan main laju tanpa sebarang halangan, tetapi apabila tiba giliran periuk nasi nelayan dan dana masjid rakyat, alasan birokrasi serta skrip merayu dana pula yang dihidangkan.
9- Hari ini, rakyat sudah pun berada di ambang musim pilihan raya yang bakal menentukan hala tuju negeri dan rakyat untuk tempoh lima tahun akan datang. Musim pilihan raya ini adalah waktu paling kritikal untuk rakyat menuntut transparency sepenuhnya mengenai setiap sen perbelanjaan dana pemimpin terdahulu dan menilai apa manfaat nyata yang benar-benar sampai kepada masyarakat.
10- Ini bukanlah masanya untuk mana-mana pemimpin terus duduk di atas pentas politik memainkan sentimen kesian bagi meraih simpati murahan. Rakyat juga sudah muak melihat gimik mesra di hadapan kamera seperti aksi suap-menyuap tosei ke dalam mulut yang sekadar bertujuan memanipulasi emosi pengundi semata-mata.
11- Masyarakat di bawah sudah cukup matang untuk membezakan antara lakonan media sosial dengan kerja hakiki seorang wakil rakyat. Daripada segi gerak kerja sebenar dan janji-janji yang ditaburkan kepada rakyat serta golongan nelayan sebelum ini, terlalu banyak yang dilihat dimanipulasi dan "dicapatikan" begitu sahaja.
12- Justeru, pilihlah pemimpin berdasarkan rekod kerja yang telus, teladan pengorbanan sebenar dalam menjaga wang rakyat, serta bukti kejayaan menyelesaikan masalah setempat. Tolaklah politik air mata dan gimik di media sosial demi masa depan yang jauh lebih jujur dan bermaruah !

No comments: