
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menegaskan, sikap berkompromi dengan rasuah atas alasan mengenang jasa seseorang juga bertentangan dengan ajaran Islam.
KUALA LUMPUR, 11 Nov – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, jasa seseorang walaupun selama ratusan tahun tidak boleh dijadikan alasan untuk membiarkan perbuatan rasuah dan penyelewengan harta rakyat.
Penegasan Perdana Menteri yang disiarkan di media sosial hari ini turut menegaskan, sikap berkompromi dengan rasuah atas alasan mengenang jasa seseorang juga bertentangan dengan ajaran Islam.
“Jasa ratusan tahun sekalipun tidak boleh menjadi alasan untuk kita membiarkan sesiapa menyakau dan merompak harta rakyat dan negara.

“Sikap berkompromi dengan rasuah atas nama jasa ini jauh daripada ajaran Islam,” tegasnya menurut hantaran itu.
Anwar turut mengingatkan, sikap bertolak ansur dengan perbuatan salah atau ‘tolerance for evil’ hanya akan merosakkan masyarakat.
“‘Tolerance for evil’ inilah yang merosakkan kita. Kita yang benci dan menentang rasuah perlu bersuara lebih lantang, sampaikan mesej jelas bahawa pelaku rasuah tempatnya di penjara,” katanya.

Walaupun tidak menamakan mana-mana individu, hantaran itu dibuat ketika isu tahanan rumah bekas perdana menteri Najib Razak menjadi perhatian susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.
Mahkamah membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara kes SRC International secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028 selepas mengetepikan perintah pelepasan bertarikh 6 November dan menggantikannya dengan perintah baharu.
Najib kemudian dibawa pulang ke kediamannya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, malam tadi selepas Umno menjelaskan denda RM50 juta yang menjadi antara syarat pengampunan bersyarat diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September lalu.
Jumaat lalu, Anwar menyatakan beliau secara peribadi tidak bersetuju dengan tindakan Umno membayar denda berkenaan kerana bimbang ia memberi gambaran bahawa kesalahan rasuah berskala besar boleh dipandang ringan atas dasar persahabatan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pembayaran itu adalah hak Umno, manakala kerajaan menghormati proses undang-undang serta keputusan Yang di-Pertuan Agong mengikut Perlembagaan.
Malam tadi, Anwar turut berkongsi hadis Rasulullah SAW mengenai keadilan tanpa pilih kasih, yang mengingatkan tentang kebinasaan umat terdahulu apabila golongan berkedudukan tinggi terlepas daripada hukuman, sedangkan golongan lemah dihukum atas kesalahan sama.

Najib dipenjarakan pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitannya atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC International.
Pada Januari 2024, hukuman penjara 12 tahun terhadapnya dikurangkan kepada enam tahun, manakala denda RM210 juta diturunkan kepada RM50 juta menerusi pengampunan diraja.

No comments:
Post a Comment