DASYAT APA.. NIK ABODOH BOLEH BAGI DALIL BODO JA.


Mohd Asri Nasril



 Asiah sifatkan kesilapan dalam perintah pelepasan Najib ‘sangat dahsyat’

Bahasa 'rojak', tiga versi nama Najib dalam satu dokumen. 




Oleh Harris Nasril


Peguam Asiah Abd Jalil menyifatkan satu kesilapan yang ditemuinya dalam salinan perintah pelepasan Datuk Seri Najib Razak sebagai “sangat dahsyat”. Ketika ramai memperkatakan frasa “Tinggi Court”, perhatian Asiah tertumpu pada bahagian sabitan. Tiga kali Seksyen 409 Kanun Keseksaan disebut, sedangkan denda yang dibayar Najib dikenakan bagi kesalahan di bawah seksyen lain.


“Dia cuma tulis Seksyen 409 sebanyak 3 kali. Sedangkan kesalahan Najib Razak di bawah Seksyen 409 tiada hukuman denda.


“Najib Razak didenda untuk kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 sahaja,” tulisnya.


Semakan pada salinan perintah bertarikh 6 November itu mendapati nombor kes WA-45-3-07/2018 tertera sebelum tiga sebutan Seksyen 409. Pada baris berikutnya, di sebelah jumlah denda RM50 juta, tiga nombor kes disenaraikan dalam kurungan. Yang pertama ialah WA-45-2-07/2018.


Dalam Perintah Pembebasan Awal 2024, nombor pertama itulah yang disebut secara khusus bagi denda asal RM210 juta yang kemudian dikurangkan kepada RM50 juta. Mahkamah menjatuhkan denda itu atas kesalahan salah guna kuasa di bawah Seksyen 23. Ertinya, nombor kes yang membawa denda itu ada dalam salinan perintah pelepasan, namun Seksyen 23 sendiri tidak disebut.


Tiga versi nama Najib


Pada halaman yang sama, nama Najib berubah daripada satu arahan ke satu arahan. Dalam arahan supaya beliau menjalani baki hukuman di rumah, tertera “DATO’ SRI NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK”. Beberapa baris kemudian, pada syarat pembayaran denda, namanya ditulis “DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK”. Kali ini, “Mohd” disertakan sebelum “Najib”.


Versi ketiga muncul dalam arahan kepada pegawai Penjara Kajang supaya melepaskan beliau serta-merta. Di situ tertulis “Dato’ Sri Mohd Najib bin Hj Abd Razak”. Gelaran “Tun” pada nama bapanya digugurkan, manakala “Haji” dan “Abdul” disingkatkan menjadi “Hj” dan “Abd”.


Percampuran bahasa pula dapat dilihat pada nama mahkamah. Di bahagian atas dokumen tertera “IN THE TINGGI COURT AT WILAYAH PERSEKUTUAN”. Di bawah tandatangan Timbalan Pendaftar pada halaman sama, tertulis “Mahkamah Tinggi Malaya Kuala Lumpur”. Pada perenggan mengenai pelanggaran syarat tahanan rumah, ayat seterusnya bermula dengan frasa “or to Menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah”.


Sementara itu, penganalisis politik Liyana Marzuki, yang pernah berkhidmat sebagai Peguam Kanan Persekutuan di Jabatan Peguam Negara, turut mempersoalkan ketelitian pasukan guaman Najib selepas membaca teguran Asiah.


“Nama mahkamah salah. Nama pesalah caca merba. Nombor seksyen pun dah tersasar,” tulisnya.


Menurut Liyana, kesilapan sedemikian boleh dijadikan alasan untuk memohon supaya perintah itu dibatalkan atau penguatkuasaannya dicabar. Katanya, itulah sebabnya peguam perlu menyemak setiap perintah dengan teliti. Dalam amalan lazim, menurut beliau, pihak peguam menyediakan draf sebelum mahkamah mengesahkannya.


Liyana turut mempersoalkan sama ada khidmat pasukan guaman Najib setimpal dengan bayaran yang diterima. Pada pandangannya, pasukan pembelaan terlalu menumpukan perhatian kepada perbicaraan melalui media sedangkan Najib kalah di peringkat perbicaraan dan rayuan. Beliau turut mengkritik cara pasukan itu mengendalikan usaha mendapatkan pengampunan untuk bekas Perdana Menteri berkenaan.


Najib sepatutnya mula menjalani baki hukuman di kediamannya di Taman Duta selepas denda RM50 juta dilangsaikan pada 6 November lalu. Bayaran itu antara syarat pengampunan yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 18 September.


Namun, petang hari yang sama, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan pelaksanaan tahanan rumah itu ditangguhkan sementara. Menurut AGC, penjelasan lanjut diperlukan mengenai kesan arahan pelepasan serta-merta terhadap baki hukuman yang perlu dijalani hingga 23 Ogos 2028. Malam itu, Najib kembali semula  ke Penjara Kajang. - BHN-




No comments: