
Pakatan Harapan (PH) menggalas amanah serta tanggngjawab memastikan Melaka kembali ditadbir tiga buah parti pelbagai kaum yang mencerminkan perpaduan sebenar dalam negara. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 8 Nov – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan penuh rasa insaf dan rendah hati, memohon agar rakyat Melaka memberikan kepercayaan kepada pasukan `HARAPAN’.
Menerusi hantaran di media sosial, Anwar turut memaparkan poster calon-calon yang diketengahkan mewakili gabungan itu yang menggalas amanah serta tanggngjawab memastikan Melaka kembali ditadbir tiga buah parti pelbagai kaum yang mencerminkan perpaduan sebenar dalam negara.

Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, pasukan yang diturunkan menawarkan kerja keras, kepimpinan berintegriti serta pencapaian yang telah terbukti untuk membela rakyat dan memajukan negeri.
Tambahnya, tatkala berdepan dengan sentimen perkauman sempit, `HARAPAN’ memilih untuk merangkul kekuatan orang Melayu, Cina dan India dengan menampilkan calon yang berwibawa, bersih dan beramanah untuk membawa suara rakyat serta memikul tanggungjawab di Melaka.

“Semoga Allah SWT menerangi sanubari saudara dan saudari dalam membuat pilihan, serta memberikan kekuatan kepada HARAPAN untuk berbakti sebaik-baiknya,” ujar Anwar.
Secara keseluruhan, PH iaitu gabungan ditunjangi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), mempertaruhkan sebanyak 24 calon pada PRN Melaka ke-16.

Selain KEADILAN yang meletakkan 10 calon, dua parti komponen lain iaitu DAP dan AMANAH masing-masing meletakkan tujuh calon.
PH pernah memerintah negeri ini pada 2018 susulan kejayaan menewaskan Barisan Nasional (BN) buat kali pertama dengan Adly Zahari selaku Ketua Menteri paling progresif menunaikan janji kepada rakyat termasuk pemberian 20 meter padu air percuma.
No comments:
Post a Comment