Masyarakat makin keliru dengan hukum agama yang dibawa pemimpin PAS. Dulu bukan main lagi bercakap soal hudud, tetapi sekarang membantu membayar denda RM50 juta Najib pula dikatakan mendapat pahala.
Nik Abduh kata, umat Islam yang membantu membayar denda Najib mendapat pahala kerana menyokong sistem pengampunan Agong yang diakui syarak.
Persoalannya, apa dalil yang digunakan untuk menetapkan pahala itu? Apa kaedah dan sandaran hukumnya? Mengiktiraf kuasa pengampunan tidak semestinya bermaksud setiap orang yang membayar denda pesalah automatik mendapat pahala.
Dulu PAS cukup gemar memetik hadis Nabi SAW bahawa kalau Fatimah binti Muhammad sendiri mencuri, Baginda tetap akan melaksanakan hukuman. Maknanya, keadilan tidak mengenal pangkat dan keturunan.
Di China pula, pesalah rasuah berskala besar boleh dijatuhi hukuman mati. Malah ada yang benar-benar telah dihukum mati kerana rasuah berbilion ringgit. Begitu seriusnya negara itu memandang jenayah yang merosakkan negara.
Tetapi di Malaysia, apabila melibatkan Najib, tiba-tiba muncul hujah agama bahawa membantu membayar denda RM50 juta merupakan amalan berpahala.
Lebih menarik, DAP yang pernah dikaitkan dengan gelaran kafir harbi dalam polemik hudud sanggup menyaksikan pemimpinnya menawarkan peletakan jawatan Kabinet kerana membantah isu tahanan rumah Najib. PAS yang membawa perjuangan Islam pula mempunyai pemimpin yang mengaitkan bantuan membayar denda Najib dengan pahala.
Inilah yang mencetuskan kritikan bahawa agama sedang ditunggang untuk kepentingan politik.
Kalau ulama mengeluarkan fatwa, sepatutnya dijelaskan dalil, kaedah istinbat dan sandaran hukum. Bukannya cukup satu status Facebook, terus siap goreng hukum dan tentukan orang dapat pahala.
Rakyat bukan mempertikaikan kuasa pengampunan Agong. Yang dipersoalkan ialah bagaimana tindakan membantu membayar denda orang yang disabitkan bersalah boleh terus dikaitkan dengan ganjaran agama tanpa penjelasan hukum yang memadai.
Akhirnya masyarakat makin keliru. Adakah hukum agama yang dibawa pemimpin PAS ini berpandukan dalil yang konsisten, atau berubah mengikut siapa ahli politik yang sedang dipertahankan?
#NadiDaily #NikAbduh #NajibRazak #PolitikMalaysia

No comments:
Post a Comment