Menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), dengan Setiausaha Agung DAP, Antony Loke Siew Fook mengakui keadaan politik Malaysia kini menuntut parti lebih anjal dalam menentukan rakan dan strategi.
Loke berkata DAP tetap mahu mempertahankan Pakatan Harapan (PH), namun tidak menolak kemungkinan parti itu bekerjasama dengan pihak lain atau mengambil pendekatan berbeza pada pilihan raya akan datang.
Dalam satu wawancara bersama The Straits Times Singapura, Loke mengurai lanjut tentang keputusan DAP bekerjasama dengan Umno selepas PRU15 bagi membentuk kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan bahawa realiti politik Malaysia memerlukan parti mengambil kira keperluan membentuk kerjasama lebih luas.
“Saya tidak menutup pintu kepada sesiapa. Saya percaya kita sudah sampai ke satu tahap di mana politik perlu lebih anjal.
“Sudah tentu bukan tanpa prinsip atau syarat tertentu kerana semuanya bergantung kepada keadaan dan apa yang terbaik untuk negara bergerak ke hadapan,” katanya.
Loke berkata DAP tidak mungkin membentuk kerajaan secara bersendirian dan perlu menerima hakikat bahawa pelaksanaan agenda parti bergantung kepada persefahaman dengan rakan gabungan.
“DAP tidak mungkin dapat membentuk kerajaan secara bersendirian tanpa bekerjasama dengan pihak lain. Ini realiti yang perlu kita terima.
“Kita hanya boleh memperjuangkan sesuatu setakat yang termampu dengan menggunakan hujah yang objektif dan meyakinkan untuk melaksanakannya dalam sistem sedia ada,” katanya.
Dalam masa sama, Loke berkata DAP perlu membina semula sokongan di luar kelompok pengundi tradisinya menjelang PRU16, selain mempertahankan sokongan masyarakat Cina.
Beliau percaya DAP masih mampu memperoleh sekitar 80 peratus sokongan pengundi Cina berdasarkan keputusan pilihan raya negeri baru-baru ini, namun mengakui sasaran untuk mendapatkan 90 peratus adalah sukar.
Katanya, sokongan masyarakat Cina tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang kekal.
“DAP tidak akan sesekali mengambil mudah sokongan masyarakat Cina,” katanya.
Mengulas kemunculan parti atau gerakan kuasa ketiga, Loke berkata parti yang membawa idealisme tinggi lazimnya berdepan kesukaran mengekalkan momentum dalam politik Malaysia.
Beliau mengambil Muda sebagai contoh apabila parti berkenaan tampil dengan calon baharu, golongan muda dan profesional, tetapi gagal mengekalkan pengaruh selepas pilihan raya.
“Contoh paling terkini ialah Muda. Mereka tampil dengan matlamat yang sangat idealistik, calon baharu, golongan muda, profesional dan sebagainya.
“Tetapi selepas pilihan raya, mereka langsung tidak kelihatan,” katanya.
Loke turut menegaskan beliau tidak menutup pintu untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berpotensi menjadi rakan politik DAP pada masa depan.
Mengenai kemungkinan DAP bertanding secara bersendirian pada PRU16, Loke berkata beliau sedaya upaya mahu mempertahankan PH.
Bagaimanapun, katanya, strategi pilihan raya perlu dinilai dari semasa ke semasa berdasarkan keadaan semasa dan kepentingan semua rakan gabungan.
“Seboleh-bolehnya saya mahu mempertahankan gabungan PH.
“Tetapi strategi pilihan raya kita perlu dinilai semula dari semasa ke semasa. Kita perlu melihat strategi terbaik bukan sahaja untuk DAP, tetapi juga rakan-rakan kita,” katanya.
No comments:
Post a Comment