Cubaan penyokong pembangkang menggunakan semula kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2020 sebagai ‘resit’ untuk mendakwa Perdana Menteri bercanggah pendirian dalam isu Rohingya mencetuskan perdebatan di media sosial.
Rekod kenyataan enam tahun lalu menunjukkan Anwar sejak awal membezakan antara penghantaran pulang pelarian dengan tindakan menghantar mereka ke keadaan yang boleh mengancam nyawa.
Menerusi Threads, antara hantaran yang tular mendakwa Anwar “kantoi” selepas kenyataan lamanya dimainkan semula susulan penampilan beliau dalam audio siar SembangOhhYeahh semalam.
Seorang pengguna dipercayai penyokong pembangkang menulis, “Kenyataan tahun 2020… baru syok sembang dalam podcast, kantoi pulak dah,” manakala seorang lagi mendakwa “internet ada simpan resit”.
Susulan itu, rata-rata menempelak tindakan penyokong pembangkang yang dilihat cuba mengelirukan sekaligus memburukkan Perdana Menteri berhubung isu Rohingya.
Antaranya, pengguna Threads amarrf yang berkata, menerusi audio siar itu jelas Anwar menegaskan bahawa Malaysia tidak boleh setakat menghantar pelarian Rohingya pulang sahaja tetapi juga harus memastikan keselamatan mereka terjamin.
“Dan Anwar cakap dia buat dia rancang sejak 2023 bukan macam korang (penyokong pembangkang) sekadar tengok speech terus judge,” ujarnya.
Isu kemanusiaan
Hal sama dibangkitkan oleh shahrirermy yang meminta penyokong pembangkang memahami konteks pada 2020 mengapa Anwar berkata sedemikian.
“Masa tu kerajaan Myanmar dan Malaysia tiada kerjasama antara negara, jadi PMX persoalkan nak hantar ke mana? Atau biarkan mereka tanpa arah tuju tanpa sebarang SOP yang sepatutnya,” katanya.
Sementara itu, ikhwan_razak88 pula menulis, “PMX tekankan isu kemanusiaan masih kita pertahankan. Kita tak nak mereka balik ke Myanmar dan dibunuh. Masa sama, kita tak nak mereka di sini.”
“Jadi, apa PMX buat? Runding dengan PM Myanmar untuk ambil semula Rohingya tanpa membunuh mereka.
“Apa PMX cakap dalam video inilah apa yang PMX buat dan disebut dalam podcast SembangOhhYeahh,” katanya lagi.
Anwar dalam penampilan sulung beliau menerusi audio siar yang disiarkan di YouTube semalam memaklumkan akan mengundang Presiden Min Aung Hlaing untuk melakukan lawatan rasmi ke Malaysia bagi meneruskan rundingan mencari penyelesaian terhadap isu pelarian Myanmar di negara ini.
Menurut Perdana Menteri, perkara itu telah dimaklumkan kepada Kementerian Dalam Negeri dan Jemaah Menteri dua minggu lepas, dengan matlamat mendapatkan persetujuan Myanmar menerima semula pelarian mereka di Malaysia secara berperingkat.
Jelasnya, rundingan dengan kepimpinan Myanmar diperlukan kerana proses penghantaran pulang pelarian tidak boleh diselesaikan sekiranya negara berkenaan enggan menerima mereka.
Beliau berkata sebelum ini, pertemuan dengan kepimpinan Myanmar telah diadakan di Bangkok, Thailand dan Beijing, China bagi membincangkan isu kemanusiaan, keselamatan serta keperluan mencari penyelesaian terhadap isu pelarian Myanmar di Malaysia.
Dalam pertemuan di Bangkok, Anwar berkata beliau menyampaikan pendirian Malaysia supaya keganasan terhadap pelarian itu dihentikan kerana keadaan berkenaan turut memberi kesan kepada negara ini.
Tambah beliau, proses penghantaran pulang juga bukan sekadar membawa pelarian kembali ke Myanmar, sebaliknya perlu disertai jaminan bahawa keselamatan mereka terpelihara serta kemudahan seperti perubatan dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
Mengawal sempadan
Sementara itu, semakan terhadap laporan media pada April 2020 pula menunjukkan kenyataan Anwar ketika itu dibuat dalam konteks tindakan menghalang bot membawa pelarian Rohingya daripada memasuki perairan Malaysia ketika pandemik Covid-19.
Anwar ketika itu menegaskan Malaysia perlu mengawal sempadan, tetapi tidak seharusnya membiarkan pelarian mati lemas atau kelaparan.
Malah, Anwar pada 27 April 2020 menjelaskan beliau tidak pernah mencadangkan pelarian Rohingya diberikan kewarganegaraan Malaysia.
Sebaliknya, beliau berkata, mereka menuntut hak kewarganegaraan di Myanmar dan mencadangkan pelarian ditempatkan di kawasan terkawal sementara usaha dilakukan untuk menghantar mereka ke negara ketiga atau mencari penyelesaian dengan Myanmar.
Justeru, perbandingan kenyataan 2020 dengan penjelasan Anwar pada 2026 menunjukkan kedua-duanya berlaku dalam keadaan berbeza tetapi mempunyai satu titik persamaan.
Pendirian PMX jelas iaitu pelarian Rohingya tidak seharusnya dibiarkan kekal di Malaysia tanpa penyelesaian, namun penghantaran mereka keluar perlu mengambil kira keselamatan dan keadaan kemanusiaan di destinasi yang menerima mereka.
Pada 2020, Anwar menyebut penempatan terkawal sementara menunggu penghantaran ke negara lain manakala kini sebagai Perdana Menteri, beliau memilih rundingan terus dengan Myanmar bagi membolehkan proses kepulangan dilaksanakan secara berperingkat dan selamat.
No comments:
Post a Comment