Tak perlu risau bil tinggi, Anwar umum perlindungan elektrik hingga 800 kWj

 


Kerajaan MADANI memutuskan untuk memperluaskan perlindungan subsidi bil elektrik bagi pengguna domestik daripada 600 kWj kepada 800 kWj sebulan, susulan peningkatan penggunaan elektrik yang memberi kesan kepada sebahagian isi rumah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu berkuat kuasa bagi penggunaan elektrik September hingga 31 Disember 2026, sebagai tindakan segera menangani tekanan yang dihadapi rakyat.

Melalui penambahbaikan itu, pengguna domestik dengan penggunaan sehingga 800 kWj sebulan akan mendapat perlindungan membabitkan pengecualian Pelarasan Kos Bahan Api Automatik (AFA), Caj Peruncitan serta Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Langkah berkenaan menyusuli keresahan mengenai peningkatan bil elektrik apabila sebahagian isi rumah melepasi paras perlindungan 600 kWj sebelum ini. 

Pada 16 September, Anwar berkata keadaan jerebu dan cuaca lebih panas mendorong peningkatan penggunaan elektrik sehingga sesetengah isi rumah melepasi paras berkenaan.

Sebelum keputusan terbaharu itu, pengguna domestik yang menggunakan tidak melebihi 600 kWj sebulan dilindungi daripada caj AFA, manakala penggunaan melebihi paras tersebut tertakluk kepada mekanisme berkenaan. 

Menurut Anwar, keadaan cuaca yang lebih panas mutakhir ini menyebabkan sebahagian isi rumah menggunakan lebih banyak elektrik, sekali gus meningkatkan penggunaan bulanan mereka melepasi had 600 kWj.

“Keadaan jerebu serta cuaca yang lebih panas mutakhir ini telah mendorong peningkatan penggunaan elektrik dalam kalangan sebahagian isi rumah, menyebabkan penggunaan bulanan mereka melepasi paras 600 kWj dan menyebabkan kenaikan bil yang luar biasa,” katanya.

Beliau berkata kerajaan akan terus memantau perkembangan kos bahan api dan keadaan pasaran tenaga semasa bagi memastikan keputusan berkaitan tarif mengambil kira keseimbangan antara kemampuan rakyat, keterjaminan bekalan elektrik dan kemampanan sektor tenaga negara.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Suruhanjaya Tenaga atas peranan mereka dalam membolehkan langkah itu dilaksanakan dengan segera.

Perkembangan itu datang ketika kerajaan sedang memberi perhatian khusus kepada isu kenaikan bil elektrik. 

Sehari sebelum pengumuman tersebut, Anwar memaklumkan mesyuarat khas bersama PETRA, Suruhanjaya Tenaga, TNB dan Kementerian Kewangan bagi meneliti langkah mitigasi segera.

Sementara itu, TNB sebelum ini memaklumkan pengguna elektrik menerima rebat AFA RM3.1 bilion sejak mekanisme itu diperkenalkan pada Julai 2025, berbanding surcaj RM800 juta dalam tempoh sama. 

Kerajaan juga menyalurkan tambahan RM435 juta melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik bagi mengurangkan kesan surcaj AFA kepada pengguna. 

Bagi September 2026, kadar AFA ditetapkan pada +3.67 sen bagi setiap kWj, selepas kadar tersebut mula mengenakan surcaj pada Mei tahun ini susulan peningkatan kos penjanaan. 

Dengan peluasan had perlindungan kepada 800 kWj, kerajaan berharap langkah sementara itu dapat mengurangkan tekanan bil elektrik terhadap isi rumah yang terkesan akibat peningkatan penggunaan tenaga sepanjang tempoh cuaca panas dan jerebu.





No comments: