
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 16 September 2026.
KUCHING, 16 Sep – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah satu waad atau ikatan nasional yang harus dihormati dan dilaksanakan kerana ia merupakan satu ikatan janji dibuat pemimpin-pemimpin Malaysia yang terdahulu.
Penegasan itu dibuat Perdana Menteri pada Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, malam tadi.
Di hadapan kira-kira 5,000 hadirin, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sehingga kini, sebanyak sembilan tuntutan dalam MA63 telah diselesaikan Kerajaan MADANI.
“Kita sudah berjanji. Bapak-bapak (pemimpin) kita dahulu telah memutuskan untuk memperkuat ikatan (Malaysia) ini. Sebab itu, kita harus mengambil serius dalam meneliti, menelaah semua keputusan-keputusan yang telah kita buat dulu.
“Dan saya perlu menyatakan bahawa isu ini (MA63) tidak mungkin selesai selagi sebahagian daripada rakan-rakan kita di Semenanjung yang berpendapat bahawa MA63 itu hanya urusan Sabah dan Sarawak,” katanya.
Untuk rekod, Kerajaan MADANI telah menyerahkan kuasa kawal selia elektrik kepada Sabah, serta menyerahkan urusan operasi Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak berkuat kuasa 1 September lalu.
Antara tuntutan yang dilunaskan termasuk keputusan untuk mengiktiraf Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah serta Sarawak sebagai jabatan teknikal, selain meletakkan wakil tetap kedua-dua negeri itu dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Turut hadir, Tuan Yang Terutama, Yang dipertuan Negeri Sarawak, Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta menteri-menteri kabinet Persekutuan, Sabah dan Sarawak.


No comments:
Post a Comment