Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mengesahkan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah diputuskan secara sebulat suara oleh semua Exco.
Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) yang berlangsung pada 15 September lalu.
Menurutnya, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) telah diminta untuk meneruskan proses pewartaan proklamasi berkenaan mengikut peraturan sedia ada.
“Pada hari ini saya ingin mengesahkan bahawa proklamasi memang telah dibincangkan dan diputuskan oleh semua Exco secara sebulat suara pada mesyuarat MMK pada 15 September lalu.
“Proses pewartaan sudah pun kita minta untuk Setiausaha Kerajaan Negeri untuk teruskan mengikut peraturan sedia ada,” katanya menurut Sinar Harian.
Ismail sebelum itu memaklumkan bahawa tiada sesi soal jawab dibenarkan dan beliau hanya akan memberikan kenyataan ringkas.
Kenyataan itu dibuat susulan kenyataan ahli MMK pada Rabu yang memaklumkan keputusan kolektif bahawa proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah sah.
Kenyataan terbaharu Ismail sebentar tadi hadir selepas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan menegaskan bahawa Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.
DKU turut menyatakan tiada kekosongan jawatan dan tiada pengganti selagi jawatan itu dipegang secara sah.
Dewan itu juga menegaskan keputusan MMK Negeri Sembilan Bil. 6 bertarikh 16 September 2026 tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang.
No comments:
Post a Comment