RM280,000 belum bayar, Papagomo cuba tangguh, mahkamah kata ‘tak cukup alasan’
Permohonan pempengaruh media sosial Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo untuk menangguhkan pelaksanaan penghakiman bayaran RM280,000 kepada Lim Guan Eng dan anaknya ditolak Mahkamah Tinggi hari ini.
Hakim Roslan Mat Nor memutuskan defendan gagal menunjukkan wujudnya keadaan khas yang membolehkan pelaksanaan penghakiman ditangguhkan sementara menunggu rayuan yang difailkan pada 2 Jun lalu.
Memetik Utusan Malaysia, dalam penghakimannya, Roslan berkata alasan bahawa Papagomo yakin akan berjaya dalam rayuan tidak mencukupi untuk mahkamah menggunakan budi bicara memberikan penangguhan.
Menurut hakim, Papagomo juga berhujah bahawa rayuannya akan menjadi akademik sekiranya jumlah penghakiman dibayar terlebih dahulu.
Beliau turut mendakwa akan berdepan prosiding kebankrapan sekiranya Guan Eng dan anaknya mengambil langkah menguatkuasakan penghakiman berkenaan.
Namun, hujah itu tidak meyakinkan mahkamah untuk memberikan penangguhan.
“Defendan mendakwa beliau akan berjaya dalam rayuannya dan rayuan itu akan menjadi akademik sekiranya jumlah penghakiman dibayar sekarang.
“Defendan turut berhujah bahawa beliau akan berdepan prosiding kebankrapan sekiranya plaintif melaksanakan penghakiman tersebut. Alasan-alasan ini tidak membantu mahkamah dalam melaksanakan budi bicaranya untuk memberikan penangguhan,” kata Roslan.
Mahkamah turut memerintahkan Papagomo membayar RM5,000 kos kepada pihak plaintif.
Keputusan itu susulan penghakiman Mahkamah Tinggi pada 19 Mei lalu yang mendapati Papagomo bertanggungjawab atas fitnah terhadap Guan Eng dan anaknya, Clint Lim Way Chau, berhubung satu hantaran Facebook pada 14 Mac 2020.
Dalam hantaran tersebut, Papagomo mendakwa Clint ditahan di Lapangan Terbang Changi kerana membawa masuk wang tunai RM2 juta tanpa pengisytiharan, selain mendakwa Guan Eng pergi ke Singapura selepas kejadian itu.
Mahkamah kemudian memerintahkan Papagomo membayar RM200,000 ganti rugi kepada Guan Eng dan RM80,000 kepada Clint, selain kos masing-masing RM30,000 dan RM10,000.
Saman itu difailkan Guan Eng dan Clint pada 19 April 2020, dengan kedua-duanya mendakwa hantaran berkenaan mengandungi kenyataan fitnah yang menjejaskan reputasi mereka.
Dalam prosiding hari ini, Guan Eng dan Clint diwakili peguam Simon Murali, manakala Papagomo diwakili peguam Norfazilah Jaafar. Peguam Simon kemudian memaklumkan bahawa pihaknya belum memfailkan sebarang permohonan untuk menguatkuasakan jumlah penghakiman terhadap Papagomo.
Rayuan Papagomo masih berjalan, namun keputusan hari ini bermakna perintah bayaran RM280,000 itu tidak digantung oleh Mahkamah Tinggi sementara menunggu proses rayuan.
No comments:
Post a Comment