Ahmad Mursi
Menarik juga cara PAS berpolitik sekarang. Bila mahu bekerjasama dengan UMNO, bahasanya bukan sangat macam orang hendak memujuk. Kadang-kadang bunyinya macam orang sedang bagi arahan.
Dalam video ini, Ahmad Fadhli Shaari memberi peringatan kepada UMNO supaya jangan sampai hubungan kedua-dua parti melepasi “point of no return”. Bunyi keras. Macam UMNO sedang berdiri di depan pintu PAS sambil mengetuk minta masuk.
Cuma cerita di Perak berlaku agak terbalik.
PAS sebelum itu berharap calon Senator mereka mendapat sokongan tambahan. Tetapi apabila undian dibuat di DUN Perak, calon kerajaan Mohamad Hairul Amir Sabri mendapat 33 undi, manakala calon PAS Muhammad Zulkifli Muhammad Zakaria mendapat 26 undi. Komposisi DUN ketika itu ialah PH 24, BN sembilan dan PN 26.
Mudah ceritanya, PAS perlukan undi dari sebelah sana kalau mahu calon mereka menang. Undi itu tak datang.
Sepatutnya kalau kita sedang cuba memikat seseorang, kita belanja kopi. PAS nampaknya ada teknik lain. Orang tak ikut kita, kita pula bagi amaran jangan sampai “point of no return”.
Ini yang membuat nadanya kelihatan sedikit besar kepala. Bukan kerana PAS tak berhak memberi pandangan kepada UMNO. Itu hak mereka. Tetapi apabila pihak yang mahukan kerjasama bercakap seolah-olah pihak satu lagi yang akan rugi besar kalau tidak menurut, orang tentu tertanya-tanya siapa sebenarnya sedang mengejar siapa.
Lebih menarik, keputusan 33-26 itu sendiri menunjukkan calon kerajaan mendapat sokongan mencukupi untuk menang tanpa berlaku perubahan blok dalam pengundian tersebut. Jadi episod Senator Perak bukannya cerita UMNO datang meminta pertolongan PAS. PASlah yang gagal mendapat undi tambahan yang diperlukan calon mereka.
Politik memang pelik. Kadang-kadang orang yang sedang mengetuk pintu boleh bercakap macam dia tuan rumah.
Mungkin itu strategi tekanan PAS. Mungkin mereka mahu menunjukkan kepada penyokong bahawa mereka tidak berada dalam kedudukan meminta-minta. Tetapi kepada orang luar, gaya “kalau tak ikut kami, nanti terlambat” itu juga boleh dibaca sebagai tanda bahawa kerjasama dengan UMNO sebenarnya cukup penting kepada PAS.
Kalau betul PAS mahu UMNO kembali duduk semeja, mungkin persoalannya bukan lagi berapa banyak amaran mahu diberikan.
Persoalannya: kalau orang yang kita mahu ajak berkawan pun kita sudah beri ultimatum, macam mana hendak mula berkawan?
No comments:
Post a Comment