Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) tidak sepatutnya dijadikan bahan polemik politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan kemajuan pelaksanaannya dan manfaat yang bakal dinikmati rakyat.
Penasihat Politik Kanan Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, JS-SEZ merupakan inisiatif yang diterajui kerajaan Persekutuan hasil rundingan bersama Singapura, dengan matlamat menarik lebih banyak pelaburan berkualiti serta memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab ekonomi serantau.
Menurut beliau, walaupun kerajaan negeri memainkan peranan penting dalam pelaksanaannya, sumbangan kerajaan Persekutuan tidak wajar dinafikan hanya kerana persaingan politik.
“Kerajaan negeri memang ada peranan dan kami menghormati sumbangannya, tetapi jangan padam peranan utama kerajaan Persekutuan hanya kerana pilihan raya,” katanya menerusi satu video yang dimuat naik di media sosial.
Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu berkata, kerajaan Persekutuan bukan sahaja berjaya mendapatkan persetujuan Singapura bagi merealisasikan JS-SEZ, malah turut memacu usaha menarik pelaburan melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta agensi-agensi berkaitan.
Beliau berkata, prestasi semasa JS-SEZ menunjukkan inisiatif itu terus berkembang walaupun pelan induknya belum dilancarkan secara rasmi.
Menurutnya, hampir RM77 bilion nilai pelaburan telah diluluskan di bawah inisiatif tersebut, dengan 57 peratus daripadanya kini memasuki peringkat pelaksanaan.
“Kalau anda ingin tahu sama ada JS-SEZ perlahan atau tidak, jangan tengok dramanya. Tengok hasilnya. Kami fokus menyiapkan kerja,” katanya.
Beliau berkata, fokus kerajaan ketika ini ialah memastikan projek-projek pelaburan dapat dilaksanakan mengikut jadual supaya limpahan ekonomi dapat dinikmati rakyat Johor melalui peluang pekerjaan bergaji tinggi, pembangunan industri baharu dan peningkatan daya saing negeri.
Kenyataan Tengku Zafrul dibuat susulan pertikaian berhubung pelancaran Pelan Induk JS-SEZ yang menjadi antara isu hangat sepanjang kempen PRN Johor.
Sebelum ini, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mendakwa kerajaan Persekutuan beberapa kali menangguhkan pelancaran pelan induk tersebut.
Beliau berkata, dokumen itu adalah milik kerajaan Malaysia dan tidak memerlukan kelulusan Singapura untuk dilancarkan kerana proses rundingan antara kedua-dua negara telah selesai.
Bagaimanapun, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Akmal Nasir sebelum ini menjelaskan pembangunan JS-SEZ tidak pernah terhenti hanya kerana pelan induknya belum dilancarkan.
Beliau berkata, pelbagai projek dan inisiatif terus dilaksanakan hasil kerjasama kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, termasuk usaha menarik pelaburan serta pembangunan infrastruktur yang menjadi asas kepada zon ekonomi khas itu.
Sehari kemudian, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menegur tindakan menjadikan JS-SEZ sebagai bahan kempen pilihan raya.
Anwar menyifatkan usaha mempolitikkan isu pelancaran pelan induk sebagai “tidak cerdik” kerana pembangunan JS-SEZ tetap diteruskan mengikut perancangan dan tidak bergantung kepada pelancaran dokumen berkenaan semata-mata.
JS-SEZ diwujudkan menerusi kerjasama strategik Malaysia dan Singapura bagi menjadikan Johor sebagai hab pelaburan, pembuatan berteknologi tinggi, ekonomi digital, logistik dan perkhidmatan di rantau ini.
Inisiatif itu dijangka menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi Johor menerusi kemasukan pelaburan baharu, pewujudan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan peningkatan aktiviti perdagangan rentas sempadan.
Kerajaan Persekutuan sebelum ini menegaskan bahawa pelaksanaan JS-SEZ berjalan mengikut jadual, manakala pelan induk yang sedang dimuktamadkan bertujuan menyelaras hala tuju pembangunan jangka panjang zon ekonomi khas tersebut, bukannya menjadi prasyarat kepada pelaksanaan projek-projek yang telah diluluskan.
No comments:
Post a Comment