KESEJAHTERAAN RAKYAT

 






KULAI: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Mohamad Shafwan Ani memperkenalkan Lima Tindakan Utama Bukit Permai sebagai komitmen sekiranya diberikan mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Manifesto itu dilancarkan menerusi Forum Kedai Kopi di Restoran Ai Lai, Bandar Putra, pagi tadi, dengan lima fokus utama merangkumi penyampaian perkhidmatan, pendidikan, kebersihan dan kesihatan mental, infrastruktur serta kesihatan komuniti.
Menurut Shafwan, tindakan tersebut dirangka berdasarkan pengalaman sembilan tahun beliau berkhidmat di Pejabat Ahli Parlimen Kulai, selain mengambil kira pandangan dan aduan penduduk Bukit Permai.
“Lima Tindakan Utama Bukit Permai ini dibina hasil pengalaman turun padang serta maklum balas daripada masyarakat.
"Keutamaan saya adalah memastikan suara rakyat terus didengar dan diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat kepada mereka,” katanya.
Antara inisiatif yang akan diberi perhatian termasuk pengenalan Kad Laporan Tahunan, pelaksanaan Pejabat Bergerak, pengukuhan sokongan kepada NGO dan pertubuhan komuniti serta peluasan bantuan pendidikan melalui Program Kembali Ke Sekolah yang menyasarkan sekolah, mahasiswa dan keluarga.
“Pendidikan adalah pelaburan jangka panjang untuk membina generasi masa depan.
"Kita perlu memastikan anak-anak Bukit Permai mendapat peluang terbaik untuk berkembang tanpa dibelenggu kekangan kewangan,” katanya.
Shafwan turut menekankan aspek kesejahteraan penduduk dengan cadangan mewujudkan pusat komuniti bagi sokongan kesihatan mental, melaksanakan kempen Bukit Permai Bersih dan Bebas Denggi, menambah baik infrastruktur awam serta memperluas akses perkhidmatan kesihatan termasuk melalui Klinik Bergerak MADANI.
“Kita mahu membina Bukit Permai yang lebih selesa, bersih dan sejahtera dengan pendekatan yang telus serta bertanggungjawab kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang,” katanya.

No comments: