BANTING: Remaja yang cedera ditikam dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Banting semalam antara nama dalam senarai individu yang dikatakan berada dalam sasaran suspek.
Perkara itu disahkan sendiri bapa mangsa, Mohd Firuz Ibrahim, 43, dengan nama anak perempuannya itu dikatakan berada di nombor 10 pada senarai yang turut tular di media sosial.
Mohd Firuz bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada senarai itu benar atau sebaliknya, lantas menyerahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan.
"Nampaknya nama anak saya ada dalam senarai itu di nombor 10," katanya ringkas.
Semalam, Mohd Firuz dilapor mengakui anaknya mengenali remaja berusia 15 tahun yang juga suspek kerana pernah sekelas tahun lalu, namun menafikan mangsa menjadi sasaran kejadian serangan mengejutkan itu.
Tambah Mohd Firus, dia sendiri masih tidak jelas sama ada dokumen itu ditulis sendiri oleh suspek, diperoleh daripada pihak lain, atau direka-reka.
Bagaimanapun, katanya dia sendiri sudah memberikan keterangannya kepada pihak polis.
Mengulas mengenai dakwaan mengaitkan kes itu dengan perbuatan buli, beliau menjelaskan anak perempuannya bukan seorang pembuli dan jarang keluar dari rumah tanpa ditemani oleh ibu atau bapanya.
"Keluarga kami tidak mengenali keluarga suspek dan setakat ini masih belum ada sebarang hubungan atau pertemuan antara kedua-dua keluarga.
"Namun, kami terbuka untuk mengadakan pertemuan sekiranya cadangan sedemikian dikemukakan," katanya.
BH masih berusaha mendapatkan komen polis mengenai foto memaparkan beberapa dokumen tular termasuk senarai nama sasaran yang dikaitkan dengan kes tikam di sekolah terbabit semalam.

No comments:
Post a Comment