
JOHOR BAHRU: Siasatan terhadap bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang mengaitkan institusi diraja dengan pembubaran DUN dan pemilihan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 masih berjalan.
Sehubungan itu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata polis tidak boleh mengulas lebih lanjut berhubung kes berkenaan kerana banyak perkara yang perlu diteliti.
"Setakat ini masih dalam siasatan kita. Saya tak boleh mengulas sebab banyak perkara yang masih lagi perlu diteliti untuk kita melengkapkan kertas siasatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai mengundi di Dewan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) No 2, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Senior Asisten Komisioner Mohd Zairi Badderul @ Badrol.
Setakat 25 Jun lalu, polis menerima 153 laporan dari seluruh negara membabitkan Mohd Puad yang juga penyandang kerusi DUN Rengit.
Ia susulan kenyataan bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu yang mengaitkan institusi diraja dengan pembubaran DUN Johor dan pemilihan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16.
Siasatan terhadap Mohd Puad dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 500 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sabtu lalu, Mohd Puad mendedahkan telefon bimbitnya dirampas pihak polis bagi siasatan lanjut dan dipulangkan semula minggu lalu, selain beliau sudah dipanggil bagi diambil keterangan.
Terdahulu 25 Jun lalu, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu mengumumkan keluar parti berkenaan berkuat kuasa serta-merta atas dakwaan UMNO tidak lagi bebas membuat keputusan dan dikawal oleh istana.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan punca Mohd Puad keluar parti berkenaan adalah kerana anak lelakinya tidak diletakkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Rengit pada PRN Johor kali ini.
No comments:
Post a Comment