PRU Johor: 36.24 Peratus Pengundi Awal Selesai Tunai Tanggungjawab Jam 10 Pagi

 


Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) hadir bagi menunaikan tanggungjawab pada proses pengundian awal sempena Pilihan Raya Umum (PRU) Johor ke-16 di Dewan Dato Onn, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, pada 7 Julai 2026. Foto Bernama

JOHOR BAHRU, 7 Jul – Proses pengundian awal berjalan lancar bagi seramai 24,751 pengundi awal yang layak mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Johor ke-16 akan melaksanakan amanah mereka di 64 pusat mengundi yang diwartakan di seluruh negeri, hari ini.

Setakat jam 10 pagi, seramai 7,693 anggota polis dan tentera telah menunaikan tanggungjawab mereka atau bersamaan 36.24 peratus dan dijangka akan terus meningkat menjelang tengah hari ini.

Pengundi awal bagi PRU Johor kali ini terdiri daripada 12,041 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama pasangan serta 12,710 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan pasangan.

Sebahagian pengundi awal di kalangan tentera dan pasangan mengundi awal di Kem Iskandar, Mersing pada 7 Julai 2026. Foto RTM Johor

Daripada keseluruhan pengundi awal PDRM, sebanyak 12,067 individu dijadualkan mengundi secara fizikal hari ini, manakala 643 menunaikan tanggungjawab menerusi undi pos.

Sebanyak 53 pusat mengundi awal bagi PDRM, manakala 11 lagi untuk ATM yang akan dibuka serentak 8 pagi ini, dengan waktu penutupan dilakukan secara berperingkat antara 12 tengah hari hingga 6 petang, bergantung kepada lokasi dan jumlah pemilih berdaftar.

Beberapa pusat mengundi yang mempunyai jumlah pemilih kecil seperti Balai Polis Tenang bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang (enam pengundi), dan Balai Polis Bukit Besar bagi DUN Pasir Raja (11 pengundi) dijangka menamatkan operasi seawal 12 tengah hari.

Sementara itu, pusat mengundi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, Balai Polis Kahang (DUN Kahang) dan IPD Johor Bahru Utara dijadualkan ditutup pada 6 petang.

Bagi menjamin kelancaran proses pengundian, PDRM telah mengatur gerak kesiapsiagaan 3,565 petugas merangkumi 647 pegawai, 2,806 anggota serta 112 pegawai awam untuk pemantauan menyeluruh di lapangan.




No comments: