TVET BUKAN PENTAS KEMPEN POLITIK






Oleh

 *NASIR SULAIMAN*

*Anak Jati Johor*


Pilihan raya sepatutnya menjadi medan pertandingan idea, dasar dan kepimpinan. Ia bukan medan untuk memanfaatkan jentera kerajaan, institusi awam atau golongan pelajar bagi meraih kelebihan politik. Sebab itu dakwaan bahawa Program Jelajah TVET MARA Negeri Johor dijadikan platform berkempen untuk Barisan Nasional (BN) bukanlah isu kecil yang boleh dipandang remeh.


Lebih membimbangkan, terdapat dakwaan bahawa pelajar institusi TVET diwajibkan menghadiri program tersebut dengan amaran ketidakhadiran akan dianggap sebagai ponteng. Jika dakwaan ini benar, ia membawa implikasi yang jauh lebih serius daripada sekadar isu etika. Ia menyentuh persoalan sama ada pelajar telah dijadikan "khalayak wajib" untuk mendengar mesej yang mempunyai unsur politik ketika negara sedang melalui tempoh kempen pilihan raya.


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, tidak boleh sekadar berdiam diri. Beliau perlu menjelaskan secara terbuka sama ada program tersebut benar-benar bersifat rasmi atau telah diselitkan dengan elemen kempen politik. Penjelasan ini penting bukan sahaja untuk mempertahankan integriti beliau sebagai ketua kerajaan negeri, tetapi juga bagi melindungi nama baik institusi seperti MARA yang sepatutnya kekal berkecuali.


MARA merupakan institusi pembangunan pendidikan dan sosioekonomi yang dibiayai oleh wang rakyat. Amanah itu datang bersama tanggungjawab untuk memastikan setiap program yang dianjurkan bebas daripada kepentingan politik kepartian. Sebaik sahaja pentas kerajaan digunakan untuk mempromosikan parti politik, keyakinan rakyat terhadap kebebasan institusi tersebut mula terhakis.


Inilah masalah terbesar apabila sempadan antara kerajaan dan parti pemerintah menjadi kabur. Kerajaan ialah milik semua rakyat, manakala parti politik hanya mewakili penyokongnya. Malangnya, dalam banyak keadaan di Malaysia, kedua-dua perkara ini sering dicampuradukkan sehingga menimbulkan persepsi bahawa segala kemudahan kerajaan boleh dimanfaatkan demi kepentingan politik pihak yang berkuasa.


Hakikatnya, persepsi juga membawa kesan yang besar. Dalam demokrasi yang sihat, pemimpin bukan sahaja perlu mengelakkan salah guna kuasa, malah perlu mengelakkan segala keadaan yang boleh menimbulkan syak wasangka terhadap penyalahgunaan kuasa. Integriti bukan sekadar tentang mematuhi undang-undang, tetapi memastikan tindakan kerajaan sentiasa meyakinkan rakyat bahawa tiada kelebihan tidak adil diberikan kepada mana-mana parti.


Persoalan yang perlu dijawab amat mudah. Mengapa program melibatkan pelajar diadakan ketika tempoh rasmi kempen pilihan raya? Mengapa tidak ditangguhkan sehingga proses pengundian selesai? Jika benar objektifnya hanya untuk mempromosikan TVET, mengapa timbul dakwaan bahawa calon dan parti politik diberikan ruang yang boleh ditafsirkan sebagai kempen?


Lebih penting, jika pelajar benar-benar diwajibkan hadir, siapa yang mengeluarkan arahan tersebut? Atas kapasiti apa arahan itu dibuat? Adakah pelajar diberikan pilihan untuk tidak menghadiri program yang mengandungi unsur politik? Persoalan-persoalan ini menuntut jawapan yang jelas, bukannya penjelasan yang bersifat umum.


Walaupun anggota pentadbiran masih mempunyai tugas rasmi ketika musim pilihan raya, tanggungjawab itu tidak boleh dijadikan alasan untuk mengaburkan garis pemisah antara pentadbiran kerajaan dengan aktiviti politik. 


Semakin hampir dengan hari pengundian, semakin tinggi standard integriti yang perlu dipamerkan oleh pemimpin kerajaan.


Apa yang berlaku ini juga menguji komitmen kerajaan terhadap prinsip reformasi institusi yang sering dilaungkan. Jika kerajaan benar-benar mahu memperkukuhkan demokrasi, maka semua institusi awam perlu dilindungi daripada sebarang persepsi bahawa ia sedang membantu mana-mana parti politik. 


Reformasi tidak boleh sekadar menjadi slogan ketika berada di pentas ceramah, tetapi mesti diterjemahkan melalui Tindakan yang konsisten.


Dalam masa yang sama, prinsip yang sama perlu dikenakan kepada semua parti politik tanpa mengira siapa yang memenrintah . Rakyat mahu melihat pertandingan yang adil, institusi uang berkecuali dan pemimpin yang sanggup membezakan antara tanggungjawab sebagai kerajaan dengan kepentingan sebagai parti politik.




No comments: