
Poster yang dimuat naik di laman Facebook Mohd Puad Zakarshi pada 4 Julai 2026.
BATU PAHAT, 4 Jul – Umno sekali lagi menerima tamparan hebat apabila bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi secara terbuka menyatakan sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, Mohamad Yazid Bakri dan bukannya calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Johor.
Menerusi poster kempen yang dimuat naik di laman Facebooknya, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, beliau membuat pilihan berdasarkan peribadi calon dan bukan lagi atas faktor parti.
“Sekarang saya tidak berparti. Saya pilih calon kerana peribadi calon. Justeru saya pilih saudara Yazid kerana…,” katanya.
Beliau kemudian menyenaraikan lima alasan menyokong Mohamad Yazid, iaitu calon berkenaan merupakan anak jati Rengit, menetap di kawasan tersebut, memiliki rumah di Rengit serta merupakan pengerusi sebuah surau di Rengit.
Poster itu turut membawa slogan “Orang Rengit Jaga Rengit” selain memaparkan nombor calon dan lambang PH bagi menggesa pengundi memberikan sokongan kepada Mohamad Yazid.
Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) itu mengumumkan keluar daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta pada 25 Jun lalu.
Setiausaha Agung, Asyraf Wajdi Dusuki kemudian mendakwa kononnya Mohd Puad pernah mengugut untuk keluar parti dan mengkritiknya secara terbuka jika anaknya tidak dicalonkan bagi kerusi Rengit, tetapi tidak dapat disahkan.
Mohd Puad menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 dengan majoriti undi sebanyak 1,920.
Beliau memperoleh 7,903 undi secara keseluruhan, menewaskan tiga calon lain daripada KEADILAN, Perikatan Nasional dan Pejuang.



No comments:
Post a Comment