KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan terpengaruh ataupun berubah pendirian terhadap Low Taek Jho atau Jho Low, walaupun sekiranya ahli perniagaan dalam buruan itu diberi pengampunan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang keputusan berkaitan pengampunan di AS adalah urusan negara itu.
Namun, Perdana Menteri menegaskan Malaysia tetap akan berpegang kepada proses perundangan dalam menangani kes membabitkan Jho Low.
"Pendirian Malaysia jelas, kita mengikut jalur hukum. Itu (pengampunan) soal keputusan AS, itu urusan mereka tetapi pendirian kita tidak akan terpengaruh, terganggu atau tergugat oleh keputusan negara itu," katanya.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan Jho Low ialah antara kira-kira 250 individu yang mungkin dipertimbangkan untuk menerima pengampunan Trump sempena sambutan ulang tahun ke-250 Hari Kemerdekaan negara itu, esok.
Memetik sumber yang mengetahui perbincangan itu, The Atlantic melaporkan Rumah Putih sedang meneliti cadangan mengumumkan 250 pengampunan sempena ulang tahun ke-250 kemerdekaan AS menerusi inisiatif dikenali sebagai '250 pengampunan bagi 250 tahun'.
Bagaimanapun, menurut laporan itu, penasihat Trump masih berbelah bahagi sama ada pengampunan secara besar-besaran itu wajar diteruskan.
Sementara itu ditanya tindakan lanjut susulan AS akan menyumbang RM1 juta bagi projek restorasi Tugu Negara pula, Anwar berkata, perkara berkenaan akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu depan.
Terdahulu, media melaporkan Kuasa Usaha Kedutaan AS, David H Gamble Jr, berkata sumbangan daripada kerajaan dan rakyat AS itu adalah hadiah kepada Malaysia sempena sambutan ulang tahun Hari Kebangsaan negara yang ke-70 pada tahun depan.
Gamble turut menarik perhatian bahawa terdapat monumen serupa di Washington DC, iaitu Iwo Jima Memorial, malah kedua-dua monumen berkenaan direka oleh pengukir sama, sekali gus memperkukuhkan hubungan sejarah antara kedua-dua negara.

No comments:
Post a Comment