Tok Min Curi Tanah Mana Sampai Mahu Dijatuhkan? – PM Anwar

 


Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada pelancaran jentera PH Negeri Sembilan di Seremban pada 12 Jun 2026.

SEREMBAN, 12 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan apa alasan di sebalik usaha menjatuhkan kerajaan Negeri Sembilan ketika pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Menurutnya, Aminuddin tidak berdepan sebarang dakwaan salah guna kuasa atau isu integriti.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu tidak melihat sebarang justifikasi munasabah untuk mencetuskan krisis politik sehingga memaksa negeri berkenaan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU).

Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada pelancaran jentera PH Negeri Sembilan di Seremban pada 12 Jun 2026.

“Tanah mana yang Tok Min curi? Projek balak mana yang diambil?

“Kalau ada isu rakyat terabai, ada isu rasuah atau salah guna kuasa, kita boleh bincang. Tetapi apa sebabnya kerajaan ini hendak dijatuhkan?” soalnya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Negeri Sembilan di sini malam ini.

Anwar berkata, beliau sendiri beberapa kali mengingatkan semua pihak supaya mengekalkan kestabilan politik dan memberi ruang kepada kerajaan melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.

Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada pelancaran jentera PH Negeri Sembilan di Seremban pada 12 Jun 2026.

Menurutnya, keutamaan kerajaan ketika ini adalah menangani isu kos sara hidup, menyalurkan bantuan kepada rakyat serta memperkukuhkan ekonomi negara.

“Saya minta bersabar. Kita ada tanggungjawab untuk jaga makan minum rakyat, harga barang, Tunai Rahmah, SARA dan kebajikan rakyat.

“Belum sampai tiga tahun lagi penggal ini. Tetapi ada yang tidak sabar dan terus mahu berebut kuasa,” ujarnya.

Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada pelancaran jentera PH Negeri Sembilan di Seremban pada 12 Jun 2026.

Beliau turut mempersoalkan motif sebenar pihak yang didakwa berusaha menggugat kestabilan politik di Negeri Sembilan dan Johor walaupun kerajaan Persekutuan terus menyalurkan peruntukan pembangunan yang besar kepada kedua-dua negeri.

“Kalau Kerajaan Persekutuan tidak peduli Negeri Sembilan atau Johor, mungkin ada sebab untuk marah tetapi saya tidak pernah dengar keluhan begitu. Jadi yang direbut itu apa sebenarnya?” soalnya lagi.

Menurut Anwar, kerajaan telah meluluskan pelbagai projek strategik termasuk pembangunan pelabuhan baharu, pengembangan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), projek Rapid Transit System (RTS), Maharani Energy Gateway serta pembangunan semula Forest City.

Katanya, semua projek itu melibatkan pelaburan dan peruntukan bernilai puluhan bilion ringgit demi manfaat rakyat dan pertumbuhan ekonomi negara.

“Sebab itu saya hairan. Kita bekerja siang malam membawa pelaburan, membangunkan negeri dan menjaga kebajikan rakyat tetapi ada juga yang lebih berminat mencari jalan untuk merampas kuasa,” katanya.

Anwar menegaskan, beliau menerima amanah mentadbir negara bukan untuk mengumpul kekayaan atau mengejar kedudukan, sebaliknya untuk memastikan rakyat mendapat manfaat daripada pembangunan dan kemajuan ekonomi.

“Allah SWT mentakdirkan kita berada di sini bukan untuk mencari harta atau berebut jawatan. Apabila diberi amanah, jalankanlah amanah itu sebaik-baiknya untuk rakyat,” tegasnya.



No comments: