Veteran PKR yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, tidak berhasrat bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) Johor kerana menganggap usia dirinya sudah memasuki generasi 'dinasour'.
Hassan yang sebelum ini mengumumkan tidak berhasrat mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Gudang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, mahu melihat lebih ramai calon muda diketengahkan bertanding pada PRN.
"Saya sudah tua, sudah masuk generasi dinasour. Sekarang sudah tidak cantik lagi jika umur saya 75 tahun masih nak bertanding DUN. Buat malu sahaja.
"Jadi biarlah kerusi DUN dan Parlimen ditandingi calon muda yang berpelajaran tinggi antaranya Datuk Seri Rafizi Ramli, Khairy Jamaluddin, Nik Nazmi Nik Ahmad, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Nurul Izzah Anwar," katanya
Beliau turut mengajak rakan seperjuangan yang seusianya supaya mengambil tindakan sama dengan memberikan peluang kepada pemimpin muda untuk bertanding di pilihan raya.
"Usia hayat lelaki Malaysia ialah 74 tahun. Lazimnya pada usia Jurassic Park itu, rumah kata pergi, kubur kata mari, malah kebanyakannya ada pelbagai baggage dan skeleton dalam almari.
"Mereka semua ini elok bersama-sama saya berundur dari pentas politik pilihan raya. Berilah peluang kepada generasi muda pula," katanya.
Disiarkan pada: Jun 5, 2026
No comments:
Post a Comment