‘Musuh negara bukan kaum, tetapi pengkhianat dan perompak’ – Anwar Ibrahim

 


FOTO BERITA: Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim Pengerusi Pakatan Harapan (PH) di Karisma Arena, Seremban Negeri Sembilan. 12hb Jun 2026 (Jumaat)

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Negeri Sembilan memberikan mandat baharu kepada Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bagi memastikan kestabilan politik, pembangunan ekonomi dan agenda kebajikan rakyat dapat diteruskan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan di Karisma Arena, Seremban malam tadi.

Anwar berkata, keputusan mengadakan pilihan raya negeri lebih awal bukanlah pilihan yang diinginkan kerajaan, sebaliknya terpaksa dilakukan selepas berlaku krisis sokongan yang menjejaskan kestabilan pentadbiran negeri.

Menurut beliau, Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan sentiasa berusaha mengekalkan kestabilan politik demi memastikan fokus dapat diberikan kepada pembangunan negara, peningkatan ekonomi serta kebajikan rakyat.

“Saya berkali-kali meminta semua pihak bersabar dan memberi ruang kepada kerajaan untuk bekerja. Keutamaan kita adalah rakyat, soal kos sara hidup, bantuan tunai, peluang pekerjaan, pelaburan dan pembangunan negara,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan hari ini berjaya menarik kemasukan pelaburan yang tinggi hasil kestabilan politik yang dinikmati negara, sekali gus memberi manfaat kepada negeri-negeri termasuk Negeri Sembilan dan Johor.

Beliau menegaskan bahawa pembangunan yang sedang berlaku di Johor dan Negeri Sembilan merupakan hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan yang sentiasa memberi perhatian kepada keperluan rakyat.

“Politik yang stabil menyebabkan pelabur datang ke Malaysia. Negeri Sembilan dan Johor antara negeri yang menerima manfaat besar daripada keyakinan pelabur terhadap kestabilan negara,” katanya. Dalam ucapannya, Anwar turut mempertahankan kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang menurutnya telah mentadbir negeri dengan baik serta memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Dalam ucapannya, Anwar turut mempertahankan kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang menurutnya telah mentadbir negeri dengan baik serta memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Beliau mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri ketika pentadbiran sedia ada sedang melaksanakan pelbagai agenda pembangunan tanpa sebarang isu besar melibatkan kepentingan rakyat.

“Kalau ada kelemahan dasar, kita boleh bincang dan perbaiki. Tetapi jangan jadikan rakyat mangsa kepada perebutan kuasa dan percaturan politik,” katanya. Anwar turut menjelaskan bahawa Kerajaan Persekutuan menghormati institusi diraja dan tidak akan campur tangan dalam urusan berkaitan adat serta sistem pemerintahan Negeri Sembilan yang tertakluk kepada Perlembagaan Negeri.

Beliau menegaskan bahawa sebarang perubahan berkaitan institusi beraja perlu dilakukan mengikut saluran undang-undang dan proses perlembagaan yang ditetapkan.

“Saya tidak akan membenarkan institusi diraja dijadikan bahan pertikaian politik. Semua perkara mesti diselesaikan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan,” katanya.

Dalam masa sama, Perdana Menteri itu menegaskan bahawa perjuangan Kerajaan MADANI bukan hanya tertumpu kepada pelaburan dan projek mega semata-mata, sebaliknya memberi perhatian khusus kepada golongan berpendapatan rendah, penjaja, peniaga kecil, petani, nelayan serta pekerja. Beliau berkata, pendekatan kerajaan adalah memastikan pembangunan negara turut memberi manfaat kepada rakyat di peringkat akar umbi tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.

“Musuh negara bukan Melayu, Cina, India atau Orang Asli. Musuh negara ialah pengkhianat, perompak, penyakau dan mereka yang menabur kebencian dalam masyarakat,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera dan penyokong Pakatan Harapan supaya bekerja keras sepanjang tempoh kempen bagi menyampaikan mesej perpaduan, kestabilan dan pembangunan kepada rakyat.

Anwar turut menyatakan keyakinan bahawa rakyat Negeri Sembilan mampu membuat penilaian yang bijaksana demi memastikan negeri itu terus menikmati kemajuan di bawah pentadbiran yang stabil dan selari dengan Kerajaan Persekutuan.

“Kita mahu menang dengan semangat perpaduan, dengan kasih kepada rakyat dan negeri ini. Kita mahu memastikan Negeri Sembilan terus maju, stabil dan menjadi contoh kepada seluruh negara,” katanya.


\


No comments: