TAK JADI EDAR DAGING.

 



MALAYAKINI


KANGAR – Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah menegaskan bahawa daging lembu yang ditembak selepas mengamuk ketika Program Ibadah Korban Perdana Kuala Perlis baru-baru ini tidak diagihkan kepada penerima korban seperti biasa.



Beliau berkata, langkah mengasingkan daging haiwan berkenaan dibuat bagi mengelakkan timbul sebarang kekeliruan atau polemik berkaitan status lembu tersebut dalam kalangan masyarakat.


Menurutnya, insiden itu melibatkan lembu korban bernombor 22 daripada keseluruhan 25 ekor yang disediakan sempena program berkenaan.


Abu Bakar menjelaskan beliau pada mulanya meninggalkan lokasi untuk menghantar isterinya pulang sebelum dihubungi petugas yang memaklumkan seekor lembu terlepas dan bertindak agresif.


“Sebaik dimaklumkan mengenai keadaan itu, saya kembali ke lokasi. Sebelum tindakan diambil, saya memastikan kawasan berkenaan berada dalam keadaan selamat dan orang ramai telah dijauhkan daripada lokasi kejadian,” katanya.


Beliau turut menjelaskan bahawa senjata api yang digunakan adalah miliknya dan beliau memiliki lesen sah untuk mengendalikan senjata berkenaan.


Mengulas mengenai pengagihan daging, Abu Bakar berkata daging lembu yang ditembak itu tidak dimasukkan dalam senarai rasmi penerima kupon korban, sebaliknya diberikan kepada petugas yang membantu menjayakan program tersebut.


Katanya, keputusan itu dibuat bagi mengelakkan tanggapan bahawa daging daripada lembu yang ditembak tersebut merupakan sebahagian daripada agihan korban kepada orang ramai.


Pada masa sama, beliau memaklumkan telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.


Beliau turut mencadangkan agar satu prosedur operasi standard (SOP) khusus diwujudkan untuk mengendalikan situasi haiwan korban yang mengamuk bagi memastikan tindakan yang diambil lebih teratur dan keselamatan awam sentiasa terpelihara.


Sebelum ini, polis mengesahkan telah merampas selaras senapang serta sembilan butir peluru yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 kerana melepaskan tembakan di tempat awam.


Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati tindakan melepaskan tembakan dilakukan selepas lembu berkenaan mengamuk dan dikhuatiri mengancam keselamatan petugas serta orang awam di lokasi program.




No comments: