23 Jun 2026
Berikutan kenyataan media yang dikeluarkan PN selepas mesyuarat tergempar malam tadi, tentu ramai yang tertanya-tanya - kenapa Bersatu tidak dipecat?
Apakah PN takut untuk memecat Bersatu?
Atau Muhyiddin Yassin masih ada kekuatan sehingga tindakan pecat itu tidak dapat diambil?
Sebenarnya PN mengambil pendekatan paling bijaksana dalam menangani kedudukan Bersatu melalui mesyuaratnya malam tadi.
Jika mereka mahu memecat atau menyingkirkan Bersatu, “sap sap soi”
saja tindakan itu boleh diambil tanpa sebarang masalahZ
Sebabnya, jika Parti Cinta Malaysia, parti diketuai Hamzah Zainuddin yang merupakan musuh Bersatu dan masih dalam proses tukar nama kepada Parti Wawasan Negara pun boleh dipersetujui untuk diterima sebagai anggota baharu PN, hakikatnya untuk memecat Bersatu juga tentunya tiada masalah.
Selain Parti Cinta Malaysia, satu lagi parti yang diterima sebagai anggota baharu PN malam tadi ialah Pejuang yang diterajui Mukhriz Tun Mahathir.
Yang tidak dapat disangkal berdasarkan keputusan malam tadi ialah suara majoriti memang berpihak kepada kepimpinan semasa PN, bukan lagi dalam tangan pemimpin yang sudah menjadi bekas penerajunya.
Apa yang PN ingin toniolkan dengan tidak memecat atau menyingkirkan Bersatu ialah mereka ingin memperlihatkan gabungan itu sentiasa terbuka untuk menambah keanggotaan, menjadi bertambah besar dan memiliki lebih ramai kawan.
Selepas Parti Cinta Malaysia dan Pejuang, tidak mustahil selepas ini ada lagi beberapa parti akan turut diterima sebagai anggota PN.
Yang penting, PN sedang bergerak ke hadapan dengan menjadikan dirinya semakin inklusif sebagai gambaran sudah sedia untuk memenangi PRU16 dan seterusnya menerajui negara.
Dalam konteks Bersatu, berikutan Parti Cinta Malaysia pimpinan Hamzah telah diterima sebagai anggota PN yang sah, pandai-pandailah Bersatu membawa diri selepas ini.
Kedudukan Bersatu dalam PN sudah berubah dan tidak lagi sama seperti sebelum ini.
Semua proses dalam PN, termasuk pembahagian kerusi di dua PRN terdekat ini dan PRU16 serta penggunaan logo, semuanya hendaklah dilakukan secara rundingan serta mendapat kelulusan Pengerusi PN.
Kedudukan Hamzah dan Mukhriz yang kedua-duanya pernah dipecat daripada Bersatu sebelum ini, bermula malam tadi sudah sama taraf dengan Muhyiddin.
Memandangkan ketiga-tiganya adalah Presiden parti masing-masing, jawatan mereka dalam PN juga adalah sama iaitu Timbalan Pengerusi.
Ertinya walaupun Bersatu tidak dipecat daripada PN, tetapi kedudukan Muhyiddin dan parti itu sudah pun terpecat daripada segi kuasa, kedudukan serta pengaruh.
Cuma, sebagaimana Presiden PAS, Haji Hadi Awang pernah sebut pada 13 Jun lalu - oleh kerana PAS sudah putus hubungan dengan Bersatu dan PN akan menerima kemasukan parti pimpinan Hamzah, maka terserahlah kepada mereka sama ada mahu kekal atau sebaliknya.
“PAS dah bersetuju untuk berpisah dengan Bersatu, jadi terpulanglah kepada dia (Bersatu) nak keluar atau nak kekal lagi, terpulang pada dialah.
“Tapi Parti Wawasan Negara (pimpinan Hamzah Zainudin) nak masuk PN tidak ada masalah,” kata Haji Hadi ketika sidang media selepas Konvensyen Reset di Tanah Merah, Kelantan, baru-baru ini.
Terbukti apa yang Haji Hadi sebut sebelum ini telah menjadi kenyataan dalam mesyuarat tergempar PN malam tadiZ
Hanya yang dinanti sekarang - berapa lama Muhyiddin dan Bersatu boleh bertahan lagi dalam PN atau akan segera memilih keluar pergi? - ShahbudinHusin 23Jun2026.
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1318035406986242&id=100063393840098
No comments:
Post a Comment