
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 1 pagi ketika mangsa berusia 40 tahun itu sedang menjalankan rondaan di kawasan berkenaan. Foto Arkib
KLANG, 5 Apr – Tindakan menegur seorang lelaki yang sedang minum bertukar tragedi apabila seorang pengawal keselamatan maut selepas dipukul dalam kejadian di sebuah pondok keselamatan di taman perumahan di Bandar Bukit Raja di sini pada awal pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Polis S Vijaya Rao berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 1 pagi ketika mangsa berusia 40 tahun itu sedang menjalankan rondaan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, mangsa menegur suspek yang sedang minum bersama rakan sebelum berlaku salah faham antara mereka.
“Perselisihan itu kemudian bertukar menjadi pergaduhan sehingga mangsa diserang menggunakan objek tumpul.
“Mangsa yang mengalami kecederaan akibat serangan fizikal telah dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 4.18 pagi ketika menerima rawatan.
Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara berjaya mengesan dan menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an kira-kira jam 10 pagi di Bukit Raja bagi membantu siasatan.
“Polis turut merampas sebatang besi pengunci kereta yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut. Semakan mendapati suspek mempunyai lapan rekod lampau jenayah serta dua rekod berkaitan dadah,” ujarnya.
Tambah beliau, suspek yang merupakan penyelia pembinaan kini direman bagi membantu siasatan lanjut.


No comments:
Post a Comment