Fitnah: Pemilik Facebook ‘N13 Kuang’ Mengaku Fahmi Fadzil Tak Beri Ucapan Politik

 



Fahmi Fadzil (kanan) memfailkan saman fitnah terhadap pemilik akaun Facebook “N13 Kuang” Mohd Fauzan Madzlan pada 2023 berhubung dakwaan kononnya Menteri Komunikasi itu menyampaikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor.

KUALA LUMPUR, 6 April – Kes saman fitnah yang difailkan Datuk Fahmi Fadzil terhadap pemilik akaun Facebook “N13 Kuang” Mohd Fauzan Madzlan pada 2023 berhubung dakwaan kononnya Menteri Komunikasi itu menyampaikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor telah diselesaikan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Peguam Fahri Azzat yang mewakili Fahmi, memaklumkan kepada Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bahawa kedua-dua pihak telah mencapai penyelesaian dan telah bersetuju dengan penghakiman persetujuan.

Perkara berkenaan disahkan oleh peguam Mohammed Zamri Ibrahim yang mewakili Mohd Fauzan selaku defendan.

Fahmi mendakwa ketiga-tiga defendan termasuk Papagomo telah menyiarkan kata-kata fitnah yang mendakwa plaintif menyalahgunakan tempat beribadah iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya.

Hakim Ahmad Mohzanuddin kemudian merekodkan penghakiman persetujuan bagi penyelesaian kes saman itu.

Sementara itu, semasa sidang media, peguam Asheeq Ali Sethi Alivi yang turut mewakili Fahmi berkata dalam perintah penghakiman persetujuan itu, dua perkara telah dipersetujui.

Defendan kesal kiriman Facebook 

“Defendan berasa kesal di atas hantaran Facebook bertarikh 31 Julai 2023 yang mengulas isu berkenaan, yang menjadi subjek kepada kes hari ini. Jadi dua perkara utama iaitu pertama defendan mengakui bahawa ucapan YB Fahmi bukan kempen politik dan bukan ucapan berbaur politik.

“Kedua, defendan berasa kesal terhadap sebarang salah faham yang timbul akibat kenyataan yang dikeluarkan di Facebook “N13 Kuang”, yang menjadi subjek kes ini. Defendan juga dengan seikhlas hati menyatakan bahawa ucapan Fahmi pada 30 Julai 2023 di Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang, Selangor, semasa tempoh Pilihan Raya Negeri Selangor ke-15, bukan satu kempen politik ataupun ucapan berbaur politik,” kata peguam itu.

Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Fahmi Fadzil berkata meskipun berdepan dengan pelbagai rintangan, parti itu tetap berdiri teguh hasil daripada keutuhan prinsip dan kekuatan perjuangan yang tidak pernah padam. Foto Azman Abidin

Dalam pada itu, Fahmi ketika ditemui media menghargai pengakuan Mohd Fauzan serta persetujuan untuk kedua-dua pihak menyelesaikan dengan cara baik.

“Pengesahan beliau (Mohd Fauzan) itu amat saya hargai dan saya tunggu bersama dengan pasukan peguam sama ada dua kes seterusnya akan diteruskan atau tidak,” katanya.

Fahmi turut fail saman terhadap Ahmad Dusuki, Papagomo

Selain Mohd Fauzan, Fahmi juga memfailkan saman terhadap penceramah bebas Ahmad Dusuki Abd Rani serta Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai “Papagomo” berhubung isu sama.

Berdasarkan writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 5 September 2023, Fahmi mendakwa ketiga-tiga defendan telah menyiarkan kata-kata fitnah yang mendakwa beliau menyalahgunakan tempat beribadah iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah dan perintah Sultan Selangor.

Fahmi mendakwa kata-kata fitnah itu disiarkan di akaun Facebook milik Mohd Fauzan serta akaun Facebook dan Instagram milik Ahmad Dusuki pada 31 Julai 2023, manakala di akaun TikTok dan Facebook Wan Muhammad Azri pada 1 Ogos tahun sama.

Beliau berkata, kenyataan fitnah itu tidak berasas dan pihak Majlis Agama Islam Selangor telah mengesahkan bahawa beliau sama sekali tidak memberikan ucapan berbaur politik seperti mana yang difitnah oleh defendan.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teruk atau teladan dan perintah injunksi bagi menghalang semua defendan daripada mengulangi atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu.




No comments: