Kerajaan teliti penambahbaikan subsidi nelayan, kebajikan jadi keutamaan


 


Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menegaskan komitmennya untuk meneliti penambahbaikan mekanisme subsidi nelayan secara berperingkat, dengan kebajikan golongan itu kekal sebagai keutamaan.

KPKM menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memaklumkan pihaknya memahami kebimbangan serta cabaran yang dihadapi nelayan, khususnya berkaitan isu kuota subsidi bahan api yang menetapkan had 50 liter sehari bagi vesel Zon A.

Menurut LKIM, skim subsidi diesel dan petrol nelayan yang diperkenalkan sejak 2006 bertujuan untuk meringankan sebahagian kos operasi penangkapan ikan, dan bukannya menanggung keseluruhan kos tersebut.

“Dalam masa yang sama, penetapan kuota turut mengambil kira aspek kawalan, ketelusan serta kedudukan kewangan Kerajaan agar bantuan dapat disalurkan secara mampan dan berkesan,” menurut kenyataan LKIM hari ini.

Selain itu, kerajaan turut mengambil maklum perubahan semasa dalam industri perikanan, termasuk perkembangan teknologi vesel serta peningkatan penggunaan kuasa enjin yang memberi kesan kepada penggunaan bahan api.

Sehubungan itu, LKIM menyatakan bahawa sebarang cadangan untuk menambah baik kadar atau mekanisme subsidi akan diteliti dengan mengambil kira keseimbangan antara kebajikan nelayan dan keupayaan kewangan negara.

LKIM turut menyeru nelayan serta rakyat agar memahami cabaran global semasa, termasuk krisis tenaga dunia yang memberi kesan langsung kepada harga bahan api dan kos operasi.

“Kerajaan kekal komited untuk mencari keseimbangan terbaik antara membantu nelayan dan memastikan kestabilan kewangan negara terus terpelihara,” jelas kenyataan itu lagi.

Pada masa ini, nelayan menikmati pelbagai bentuk bantuan termasuk subsidi bahan api pada kadar RM1.65 seliter bagi Zon A, B dan C.

Nelayan juga memperoleh kuota 70 juta liter diesel sebulan selain elaun sara hidup serta insentif tangkapan ikan.


No comments: