Fitnah: MP Masjid Tanah Setuju Bayar Ganti Rugi RM50,000 Kepada Mara

 


Asyraf Wajdi Dusuki bersama barisan peguam Mara yang diketuai Adnan Seman selepas prosiding kes membabitkan Mara dengan Mas Ermieyati Samsudin. Foto Facebook

MELAKA, 6 Apr – Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin setuju membayar ganti rugi RM50,000 kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam satu penyelesaian kes saman.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Asyraf Wajdi Dusuki berkata Mahkamah Tinggi Melaka hari ini merekodkan penghakiman persetujuan itu.

Asyraf berkata Mas Ermieyati selaku defendan mengakui telah mengeluarkan kenyataan tidak benar dan berunsur fitnah terhadap beliau serta Mara menerusi penghakiman di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Isa Aziz Ibrahim.

Mas Ermieyati Samsudin hadir pada prosiding di mahkamah pada 6 April 2026.

Katanya, Mas Ermieyati juga bersetuju memohon maaf secara bertulis, menarik balik dan memadam semua hantaran video di semua platform media sosial miliknya.

“Semoga ini menjadi pengajaran berguna kepada semua supaya lebih bertanggungjawab dan tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan fitnah yang boleh menghancurkan reputasi individu serta institusi,” katanya di Facebook.

Pada Mei tahun lalu, Mas Ermieyati didakwa menuduh Asyraf membazirkan dana Mara melalui lawatan tidak rasmi ke institusi di bawah agensi itu.

Beliau juga didakwa membangkitkan isu pemotongan program hafazan serta mendakwa Mara tidak lagi membiayai pelajar pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Asyraf menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai tidak berasas dan memfailkan saman terhadap Mas Ermieyati kerana didakwa memfitnah Mara.



No comments: