Kematian Wan Ahmad Faris: Berikan penjelasan dan komitmen, Kelantan digesa


 

Satu memorandum tuntutan penjelasan dan komitmen kerajaan Kelantan berhubung kes Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang dipercayai menjadi mangsa bunuh 12 tahun lalu di sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas telah diserahkan oleh keluarga allahyaraham.


Penyerahan memorandum itu dibuat oleh ibu bapa mangsa an Abdul Rahman Wan Yaacob dan Ruhani Hussin serta barisan 10 peguam keluarga diketuai Tengku Shazuan Tengku Shariffudin kepada Pegawai Khas Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, Anas Rizuan Shamsuddin.


Ini kerana sekolah menengah agama berkenaan berada di bawah seliaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Barisan peguam mewakili keluarga Allahyarham belum membuat prosiding saman ke atas kerajaan negeri. Saman pertama yang difailkan adalah terhadap kerajaan Persekutuan.


“Pihak kami (peguam) masih lagi berbincang mengenai beberapa isu yang memerlukan penjelasan dan kerjasama daripada kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui pemberita semasa menyerahkan memorandum tuntutan kepada kerajaan negeri di hadapan Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.


Tengku Shazuan memberitahu, memorandum tersebut turut menggariskan beberapa perkara penting antaranya melibatkan perobohan lokasi kejadian iaitu tandas asrama di mana jasad Wan Ahmad Faris ditemui kira-kira dua atau tiga minggu selepas kejadian tanpa alasan munasabah.



Selain itu, kelemahan sekolah menyediakan rekod keluar masuk pelajar dan ketiadaan siasatan terhadap pergaduhan sebelum penemuan jasad Wan Ahmad Faris merupakan antara isu yang dibangkitkan di dalam memorandum tersebut.



No comments: