Pemaju menanggung sepenuhnya sewa kediaman majoriti penduduk Kampung Sungai Baru yang ditempatkan di penempatan sementara susulan pembangunan di kawasan berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata, mereka kebanyakannya ditempatkan di Residensi Sungai Udang dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda.
“Sebenarnya mereka yang bersetuju untuk berpindah dan tinggal di kawasan yang contohnya di rumah PPR atau residensi di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sewaan mereka ditanggung sepenuhnya oleh pemaju.
“Sewa itu ditanggung oleh pemaju sehingga projek pembangunan semula selesai, sehingga mereka mendapat rumah ganti,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan hanya mahu memastikan penduduk menikmati manfaat pembangunan termasuk pampasan adil dan kediaman yang lebih baik.
Dr Zaliha menambah hasil pertemuan dengan penduduk, mereka menyatakan tidak sesekali menolak pembangunan, namun hanya mempertikaikan isu pampasan.
Sebelum ini, projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru yang melibatkan rumah flat dan teres mencetuskan polemik apabila sekumpulan penduduk tidak berpuas hati dengan pampasan yang ditawarkan.
Semalam, polis bersama pelbagai agensi penguat kuasa melaksanakan writ milikan kosong terhadap 26 hak milik individu merangkumi 37 unit rumah teres di kampung tersebut.
Walau bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera ketika mengawal keadaan sewaktu operasi pengosongan kediaman itu.
No comments:
Post a Comment