Berlegar kempen hasut umat Islam tutup akaun Tabung Haji, kerajaan lapor SKMM, polis
Berlegar di media sosial beberapa video yang cuba menghasut pendeposit Tabung Haji supaya menutup akaun mereka di institusi itu.
Ia dipercayai kerana langkah penjenamaan semula Tabung Haji, yang menimbulkan kontroversi kerana didakwa diberikan secara rundingan terus kepada sebuah syarikat bukan Muslim.
Di Dewan Rakyat hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na’im Mokhtar memandang serius hal ini dan menegaskan sedang menimbang tindakan terhadap individu yang cuba membuat hasutan sedemikian.
“Ada yang mengajak umat Islam di Malaysia keluarkan simpanan dari Tabung Haji. Hasutan-hasutan sebegini tak berikan manfaat atau kebaikan kepada usaha untuk kita pertahankan Tabung Haji ini.
“Maka dalam konteks itu di peringkat kerajaan kita sedang meneliti dan juga tindakan telah diambil.
“Contohnya, aduan atau laporan telah dikemukakan pada MCMC, laporan polis juga telah dibuat ke atas beberapa video yang kita dapati menjurus ke arah hasutan tersebut,” katanya ketika sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat pagi tadi.
Mohd Na’im menjawab soalan tambahan Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin), yang menyuarakan kebimbangan terhadap kempen berkenaan serta ingin tahu langkah kerajaan menanganinya.
Mengenai konsortium dilantik untuk projek penjenamaan TH, beliau berkata melalui proses rundingan terus yang ketat, TH memilih gabungan syarikat perunding yang memiliki kepakaran berbeza berdasarkan keperluan khusus bagi menyusun semula strategi untuk memberi nafas baharu kepada institusi berkenaan.
“Rundingan terus merupakan kaedah perolehan dibenarkan dalam keperluan tertentu terutamanya bagi perkhidmatan strategik yang memerlukan kepakaran khusus seperti khidmat perundingan strategik, tinjauan dan kajian pasaran dan lain-lain perkhidmatan yang tidak dapat diperoleh melalui proses tender biasa,” katanya.
Beliau berkata pemilihan itu melalui proses tadbir urus yang ketat merangkumi penilaian kepakaran teknikal dan komersial yang menyeluruh, rundingan harga serta kelulusan jawatankuasa tender dan Lembaga Pengarah TH bagi memastikan ketelusan, akauntabiliti serta nilai terbaik kepada organisasi.
No comments:
Post a Comment