Adakah saya akan bertanding jawatan Timbalan Presiden parti KEADILAN?
Ini adalah jawapan yang telah saya kongsi kepada media semalam.
Alhamdulillah, saya telah menamatkan hampir keseluruhan proses engagement dan perbincangan dengan pelbagai pihak dalam parti, termasuk sesi panjang bersama YB Rafizi Ramli dan beberapa pertemuan bersama Presiden Parti Keadilan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Proses ini penting sebelum saya membuat sebarang keputusan berkaitan pemilihan parti.
Namun sebagai orang lama dalam Parti Keadilan, saya lebih banyak melalui episod kekalahan berbanding kemenangan dan satu perkara yang tetap utuh dalam diri saya adalah —khidmat kepada parti tidak harus bersyarat kepada kedudukan. Kalah atau menang bukan penentu semangat perjuangan saya.
Keberadaan saya dalam parti ini, sejak awal, adalah untuk memperkukuh dan memperkuatkan Keadilan. Dalam tempoh dua tahun mendatang, kita akan berdepan PRU yang besar ertinya. Justeru, pemilihan parti kali ini harus menjadi medan penyatuan dan pengukuhan, bukan perpecahan.
Parti yang kuat akan menyumbang kepada kerusi yang lebih banyak. Parti yang mantap akan memperkukuh Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan. Parti yang bersatu akan memastikan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim diposisikan semula sebagai Perdana Menteri untuk penggal kedua.
Saya menyokong penuh proses pemilihan parti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan. Ini adalah ruang demokrasi dalaman yang wajib kita hargai dan raikan. Dalam masa empat hari yang berbaki sebelum tarikh tutup pencalonan, saya akan terus membuat pertimbangan terbaik dengan tawakal dan istikharah.
Insya-Allah, pengumuman rasmi akan saya buat dalam tempoh yang munasabah.
Teruskan berkhidmat. Teruskan berjuang!

No comments:
Post a Comment