KPKM Diarah Segera Pulihkan Bekalan Beras Tempatan – PM Anwar

 

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah ketika Taklimat Harian PMO pada 3 Mac 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 3 Mar – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk menyegerakan usaha pemulihan bekalan beras putih tempatan (BPT) di pasaran.

Menurut Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, Perdana Menteri juga mengarahkan KPKM supaya memaklumkan perkembangan berkenaan pemulihan bekalan BPT secara berkala kepada rakyat.

“Insya-Allah pemulihan bekalan ini sedang dilaksanakan secara berfasa,” kata Tunku Nashrul menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri, yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Pejabat Perdana Menteri Malaysia (PMO Malaysia) hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan pegawai sebelum menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan JPM di Putrajaya pada 3 Mac 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Terdahulu dilaporkan sebanyak 30 tan BPT telah diedarkan kepada pengguna di Perlis bermula minggu ini.

Media pada Sabtu lalu melaporkan KPKM memaklumkan Pasukan Petugas Khas Bersepadu Operasi BPT mendapati punca kekurangan bekalan BPT adalah disebabkan masalah struktur harga belian padi, kos pengeluaran beras dan harga siling BPT.

Selain itu kementerian memaklumkan ia juga disebabkan oleh tiada peruntukan khusus mengenai larangan percampuran beras dalam Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).



No comments: