![]() |
Cuepacs mohon kerajaan pertimbang bantuan khas Aidilfitri buat penjawat awam.
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon kerajaan mempertimbangkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri kepada penjawat awam.
Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, ia bagi meringankan beban perbelanjaan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi.
Beliau memahami penjawat awam baru sahaja menikmati kenaikan gaji yang diumumkan kerajaan, namun katanya, tradisi pemberian BKK setiap kali menjelang Aidilfitri adalah satu inisiatif yang amat dinanti.
Apatah lagi sambutan Aidilfitri sering membabitkan peningkatan perbelanjaan, khususnya bagi mereka yang perlu membuat persiapan pulang ke kampung halaman, menyediakan keperluan asas keluarga serta memenuhi keperluan pendidikan anak-anak yang semakin meningkat.
“Dalam keadaan kos sara hidup yang masih tinggi, bantuan khas ini akan sedikit sebanyak membantu penjawat awam menguruskan keperluan kewangan mereka dengan lebih baik.
“Kami memahami penjawat awam baharu sahaja menikmati kenaikan gaji yang diumumkan kerajaan.
“Namun, tradisi pemberian BKK setiap kali menjelang Aidilfitri adalah satu inisiatif yang amat dihargai dan dinanti penjawat awam bagi memastikan kesejahteraan mereka dan keluarga dalam membuat persiapan perayaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Untuk rekod, penjawat awam mula menikmati kenaikan gaji pada Disember tahun lalu sebanyak lapan peratus untuk Fasa 1. Manakala tujuh peratus lagi untuk Fasa 2 akan bermula pada Januari 2026
Sementara itu Adnan berkata, BKK bukan sahaja dinanti-nantikan penjawat awam, tetapi juga memberi manfaat kepada peniaga bazar Ramadan dan peruncit yang turut bergantung kepada lebihan wang bantuan ini untuk meningkatkan hasil jualan mereka.
Beliau berkata, apabila penjawat awam mempunyai lebihan kewangan untuk berbelanja, kesan limpahan ekonomi dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat, termasuk usahawan kecil, peniaga makanan serta sektor perkhidmatan lain yang bergantung kepada peningkatan kuasa beli rakyat menjelang perayaan.
“Sebagai tulang belakang perkhidmatan kerajaan, penjawat awam sentiasa komited dalam menjalankan tanggungjawab mereka kepada negara.
“Oleh itu, kami percaya kerajaan akan terus mengambil kira kepentingan dan kebajikan penjawat awam dengan mempertimbangkan pemberian BKK Aidilfitri pada tahun ini sebagai tanda penghargaan atas dedikasi mereka.
“Cuepacs amat menghargai perhatian dan pertimbangan kerajaan terhadap permohonan ini demi kesejahteraan penjawat awam yang terus berkhidmat dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab,” katanya.
No comments:
Post a Comment