
Ismail Sabri Yaakob hadir untuk sambung beri keterangan siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan beliau di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya pada 14 Mac 2025. Foto Bernama
PUTRAJAYA, 14 Mar – Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi ini bagi menyambung proses beri keterangan siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan beliau.
Beliau tiba di pejabat SPRM pada jam 8.46 pagi memakai kurta warna putih menaiki kenderaan jenis Audi berwarna hitam diiringi kenderaan peronda polis.
Ahli Parlimen Bera, Pahang itu sempat melambaikan tangan kepada pengamal media yang menunggu sejak jam 8 pagi bagi membuat liputan berkenaan kes dihadapi beliau.
Semalam Isail Sabri hadir bagi memberi keterangan dan tiba di pejabat SPRM pada jam 9.45 pagi dan meninggalkan pejabat SPRM pada jam 3.13 petang selepas lima jam memberi keterangan kepada pegawai SPRM.
Dalam sidang media SPRM minggu lalu mendedahkan penemuan wang tunai pelbagai mata wang serta jongkong emas yang secara keseluruhannya berjumlah RM177 juta.
Pendedahan itu dibuat menerusi siri serbuan membabitkan tiga premis termasuk sebuah ‘safe house’ di sekitar ibu negara yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan berkenaan.
Semua hasil rampasan itu juga turut dikaitkan dengan perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia sewaktu sewaktu beliau mentadbir kerajaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam baki sebelum ini menyatakan, Ismail Sabri dikategorikan sebagai suspek kes terbabit selepas memanggil beberapa saksi termasuk beliau sendiri.
Siasatan terhadap beliau sebelum ini tergendala beberapa kali susulan faktor kesihatannya yang tidak mengizinkan selepas dilaporkan rebah di kediamannya sebelum dikejarkan ke hospital.
Siasatan terhadap Ismail Sabri dibuat mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Ini adalah kali kedua Ismail Sabri beri keterangan kepada SPRM selepas Azam Baki menyatakan PM9 adalah suspek. Sebelum ini Ismail Sabri ada hadir membantu siasatan selepas SPRM menahan empat pegawai beliau serta merampas RM170 juta dalam sebuah ‘safe house’.
No comments:
Post a Comment