SETELAH SEMINGGU KEMPEN, PELUANG PH DAN PN MASIH 50-50 DI KKB

 

SETELAH SEMINGGU KEMPEN, PELUANG PH DAN PN MASIH 50-50 DI KKB

Shahbudin Husin


Minggu ini adalah minggu yang kritikal bagi calon-calon bertanding dalam PRK Kuala Kubu Bharu sebelum tiba tarikh pengundian pada 11 Mei depan.

Paling tak lena tidur pastinya ialah jentera kempen PH yang dibantu BN, begitu juga jentera PN serta calon masing-masing, Pang Sock Tao dan Khairul Azhari Saut.

Kedua-dua mereka inilah paling berpotensi untuk menang, manakala Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia) boleh dikata tiada peluang sama sekali untuk meraih kemenangan.

Berbaki lima hari lagi sebelum tiba hari pengundian adalah tempoh yang penting dan boleh menentukan sama ada kemenangan mampu diperolehi atau sebaliknya.

Apatah lagi setelah seminggu berlalu selepas hari penamaan calon pada 27 April lalu, siapa yang boleh menang masih lagi belum jelas kelihatan.

Beberapa pihak yang ditemui dan ditanya pandangan mereka mengenai PRK Kuala Kubu Bharu, rata-ratanya mengatakan kedudukan setakat ini adalah 50-50.

Calon PH dikatakan hanya mendapat sokongan lebih kukuh daripada pengundi Cina, manakala calon PN lebih disokong oleh kelompok pengundi Melayu.

Seorang pemimpin UMNO berkata, walaupun dengan bantuan parti itu, tetapi PH sukar mendapat sokongan pengundi Melayu kerana 80 peratus daripada kelompok itu adalah memihak kepada PN.

Dalam keadaan tersebut, selain kemenangan banyak ditentukan oleh peratusan yang keluar mengundi, “king maker” sebenar boleh jadi pengundi India yang berjumlah 18 peratus daripada jumlah keseluruhan lebih 40 ribu pengundi di Kuala Kubu Bharu.

Yang pasti, bermula hari ini sehingga Jumaat malam akan datang adalah hari-hari sibuk di Kuala Kubu Bharu.

Kedua-dua pihak, PH dan PN, dijangka akan meningkatkan lagi gerak kempen masing-masing, sama ada dalam bentuk ceramah, kunjungan rumah ke rumah dan siri-siri penerangan lainnya.

Pemimpin-pemimpin utama PH, PN dan BN juga dijangka lebih ramai akan turun ke Kuala Kubu Bharu di hari-hari terakhir kempen ini.

Siapa yang lebih berjaya menggerakkan jentera kempen di hari-hari terakhir ini, merekalah yang lebih berpotensi beroleh kemenangan.

Walaupun siapa kalah dan siapa menang tidak akan mengubah kedudukan kerajaan, baik di negeri mahu pun di pusat, tetapi mesej daripada keputusan pada 11 Mei nanti adalah penting untuk penilaian masa depan bagi kedua-dua parti utama yang bertanding itu, khususnya dalam menghadapi PRU16 akan datang.

Sebab itulah PH dan PN masing-masing mahu mengejar kemenangan dan seboleh mungkin, ingin mengelak daripada ditimpa kekalahan. – ShahbudinHusin 06Mei2024.

 

No comments: